
WALAUPUN dikenali sebagai pasukan yang mempunyai skuad depth kukuh, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak dapat lari daripada terus membeli pemain baharu dengan musim ini enam pemain baharu.
Setakat ini, Harimau Selatan sudah membawa masuk beberapa tonggak termasuk Ibrahim Manusi, Jon Irazabal, Hector Hevel, Jairo da Silva, Antonio Glauder dan terbaharu ialah Moussa Sidibe di posisi pemain sayap.
Bagaimanapun, pemain-pemain yang tiba itu bukan semuanya dalam kategori tonggak muda. Ia sepertinya tidak selari dengan kenyataan pemilik kelab iaitu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) yang sebelum ini berkongsi mahu JDT dipenuhi dengan kudrat muda.
BACA LAGI: Terpukau rekod cemerlang di JDT, kelab divisyen atasan Brazil berminat dapatkan Bergson
BACA LAGI: Tak lama lepas digugurkan JDT, Jese Rodriguez disebut berada dalam radar kelab lama
Mengulas mengenainya, pemerhati bola sepak tempatan iaitu Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat perubahan itu dilihat membuat kaitan dengan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim 2025/2026 yang jauh lebih mencabar.
Pekan berkata, Tunku Ismail dilihat tidak teragak-agak untuk membuat rombakan besar dalam pasukan termasuk mengenepikan faktor umur dan status pemain sekalipun mereka kini menyumbang besar kepada kelab.
Pendekatan ‘kuku besi’ yang diambil oleh TMJ adalah satu langkah berani yang menunjukkan komitmen tinggi untuk memastikan JDT bukan sahaja terus mendominasi Liga Super, tetapi juga memberikan impak yang lebih besar di peringkat Asia.
“Apa-apa perubahan yang dibuat TMJ, saya nampak beliau lebih kepada nak memastikan JDT memberikan saingan yang begitu kuat dekat ACLE. Kalau JDT bersedia untuk ACLE, secara tak langsung menyaksikan JDT pasukan yang paling kuat dalam Liga Super.
"Jadi tak kira pun umur berapa, sekarang ini saya anggap faktor umur bukan faktor yang menjadi keutamaan kepada JDT sebab mereka boleh saja ambil pemain baharu tahun ini dan tahun depan pemain itu ditamatkan.
"Walaupun pemain itu menyumbang banyak pun tapi semestinya tempat mereka secure. Mereka boleh ditukarkan saja mengikut kehendak pemilik JDT. Yang penting dia nakkan skuad dia adalah skuad untuk ACLE," katanya kepada Majoriti.
Pekan turut menjelaskan bahawa sebarang keputusan mengenai pemain adalah berdasarkan kehendak dan visi pemilik kelab sendiri, yang hanya mahu pemain berada pada tahap terbaik untuk bersaing di ACLE.
Datuk Dr Pekan Ramli.
Menurutnya lagi, kelab seperti JDT sudah pun mempunyai sistem pembangunan pemain muda yang tersusun melalui akademi dan program pembangunan peringkat umur. Oleh itu, skuad utama hanya diperuntukkan kepada mereka yang benar-benar bersedia untuk bersaing di pentas Asia.
"Kalau ada pemain muda mestilah dia outstanding, mestilah dia mampu bermain dalam kaca permainan ACLE. Walaupun dia tak pengalaman tapi kerana bakat dia terhebat dan dia boleh beraksi dengan pemain-pemain yang berpengalaman.
"Tapi kalau sekadar nak meletakkan dia sebagai pemain muda perlu ada dalam skuad, itu bukan keutamaan kepada sebuah kelab yang dah pergi ke tahap macam JDT. Untuk pembangunan, JDT sudah ada ramai pemain muda," ujarnya.
Dengan pendekatan tegas dan tersusun ini, Pekan percaya Harimau Selatan berada di landasan yang tepat untuk terus mencabar status quo di Asia dan memperbaiki pencapaian musim lalu dalam saingan ACLE. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram