Dua tawaran awal tidak menjadi, Fandi masih sabar menanti


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 28 Jun 2025

Fandi sebelum ini dikaitkan dengan Kuala Lumpur City.

FANDI Ahmad mengakui hari-harinya tidak pernah sepanjang apa yang dirasakannya ketika ni dalam keadaan dia masih ternanti-nantikan tawaran daripada mana-mana pasukan Liga Malaysia yang dijadualkan membuat sepak mula bagi musim 2025/2026, Ogos ini.

“Saya hanya banyak menghabiskan masa di rumah,” kongsi bekas ketua jurulatih Sri Pahang FC itu yang ketiadaan kontrak baru selepas skuad Tok Gajah memutuskan tidak menyertai liga disebabkan masalah kewangan.

Dengan Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC melengkapkan senarai tiga pasukan yang tidak akan turut serta dalam liga musim baru, secara tidak langsung ia bermakna peluang untuk jurulatih mendapatkan majikan lain selepas berakhirnya musim 2024/2025 pada 20 April lalu, juga semakin terbatas.

BACA LAGI: Kewajaran MFL tetapkan kuota 15 tenaga import timbulkan persoalan

BACA LAGI: Irfan Bakti ajak peminat meriahkan Liga A1 Semi-Pro sebagai ganti

Tidak terkecuali Fandi, 63, jurulatih yang mengemudi Sri Pahang FC ke final Piala Malaysia sebelum tunduk 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 26 April lalu di samping menduduki tangga kelapan liga, terus tercari-cari majikan baru.

“Saya faham keadaannya makin sukar dalam Liga Malaysia. Pasukan-pasukan semakin terdesak mencari dana untuk menampung keperluan pasukan dan pada masa yang sama berusaha mengurangkan kos bagi mengelakkan masalah tunggakan gaji,” katanya kepada Bola Pegun.

Sekurang-kurangnya dua pasukan dalam Liga Malaysia sebelum ini menagih khidmatnya selaku ketua jurulatih tetapi gagal direalisasikan kerana kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.

Salah satu pasukan berkenaan menyatakan minat untuk mendapatkan khidmatnya tetapi awal-awal membayangkan mungkin tidak dapat bertahan daripada segi kewangan hingga ke akhir musim.

Bekas jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad. 

“Sambil saya faham kedudukan kelab ini, saya juga tidak mahu jika hanya dibayar gaji untuk enam bulan pertama dan tidak tahu apa akan terjadi selepas itu,” katanya.

Sebuah pasukan lagi pula membuat tawaran secara lisan kepadanya tidak lama selepas musim lalu berakhir – sesudah Tengku Muda Pahang mengumumkan Tok Gajah akan menarik diri daripada liga – tetapi rundingan secara rasmi dengan pasukan itu gagal diadakan.

Mula-mula mereka memohon untuk mengurangkan 20 peratus daripada tawaran gaji yang dibuat secara lisan kepada saya sebelumnya. Selepas itu dua kali rundingan rasmi sepatutnya berlaku pada minggu kedua bulan Jun tetapi ia tidak pernah jadi kenyataan.

“Saya tertunggu-tunggu tetapi selepas panggilan telefon dan pesanan WhatsApp kepada wakil kelab itu tidak lagi berjawab, saya anggap mereka tidak lagi berminat.

“Cuma saya ralat kerana mereka begitu bersungguh-sungguh ketika membuat tawaran lisan tetapi selepas itu senyap terus. Apalah salahnya jika mereka menghantar sebaris pesanan bagi menyatakan cadangan menjadikan saya ketua jurulatih tidak dapat diteruskan,” katanya.

Awal bulan ini dilaporkan Fandi adalah antara calon selain jurulatih kelahiran Bosnia-Herzegovina, Milomir Seslija, yang kali terakhir mengendalikan kelab Persis Solo dalam Liga 1 Indonesia sehingga Oktober 2024, dan bekas penolong ketua jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin, dipertimbangkan untuk mengendalikan Kuala Lumpur City FC.

Ini disusuli oleh satu laporan pada 6 Jun lalu bahawa KL City FC semakin hampir menamakan bekas pengendali Melaka United FC pada musim 2021/2022, Risto Vidakovic, bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Miroslav Kuljanac – jurulatih yang membimbing kelab ibu kota itu ke tangga keenam musim lalu di sebalik dikenakan pemotongan enam mata.

Fandi bagaimanapun menolak pernah dipertimbangkan selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan Singapura selepas jurulatih dari Jepun, Tsutomu Ogura, meletak jawatan atas sebab peribadi baru-baru ini dan bekas jurulatih Tampines Rovers, Gavin Lee, dilantik sebagai jurulatih interim.

Nama jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, dilaporkan turut berada dalam radar Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) tetapi jurulatih berusia 47 tahun itu memilih untuk melanjutkan tugas bersama The Cats – pasukan yang dibimbingnya menduduki tangga keempat liga musim lalu.

Pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak. — Facebook/KuchingCity

Dalam pada itu, tempoh senggang yang dilalui ketika ini mungkin satu rahmat buat Fandi yang perlu berada di sisi isteri yang dijadual menjalani pembedahan lutut dalam tempoh tiga hingga empat minggu lagi.

Isteri saya terseliuh lututnya beberapa hari lalu dan perlu menjalani pembedahan diikuti oleh sesi fisioterapi secara kerap selepas itu.

“Sebulan atau dua berikut ini akan membuat saya sibuk menemani isteri sambil menunggu kalau-kalau ada tawaran yang akan menyusul,” katanya.

Buat sementara waktu ini, Fandi menyibukkan diri melatih sebuah pasukan membabitkan ahli perniagaan muda dalam pertandingan bola sepak sosial di Singapura.

Tiga anaknya masih bermain dalam Liga 1 Thailand – Irfan baru menyertai Port FC, Ikhsan masih bersama BG Pathum United sejak 2021 manakala Ilhan yang turut menyertai BG Pathum United pada Julai 2024 kini dipinjamkan kepada Buriram United.

Siapa tahu rezeki Fandi juga mungkin di Liga Thailand selepas ini.

“Saya terbuka untuk sebarang tawaran,” katanya lagi, “sebelum benar-benar bersara dua atau tahun lagi.” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram