
PENGENDALI Kuching City FC, Aidil Sharin berdepan dilema terbesar dalam kariernya menjelang musim baharu Liga Super.
Mana tidaknya, namanya tiba-tiba saja menjadi calon kuat untuk mengendalikan skuad kebangsaan Singapura selepas peletakan jawatan mengejut Tsutomu Ogura kerana faktor peribadi.
Dengan Singapura sudah lama tidak menggunakan khidmat anak tempatan sejak Nazri Nasir secara sementara pada 2019 dan 2022, Aidil kini menjadi pilihan utama.
Namun begitu, dia berdepan dilema kerana legasi bersama The Cats sedang memuncak.
BACA LAGI: Tak julang trofi, ada 3 sebab Aidil Sharin lebih layak raih ABK berbanding Kino, Bidoglio
BACA LAGI: Sebelum tercalon di Kedah tapi tiada rezeki, kali ini milik saya — Aidil Sharin
Masa gemilang mula datang
Sebelum ini, tidak ramai yang mengambil berat tentang cabaran yang diberikan oleh Kuching City.
Tetapi sejak kehadiran Aidil, mereka lebih hebat daripada sebelumnya.
Daripada kelab yang sering bertarung di zon penyingkiran kepada begitu hampir mendapatkan slot Asia, Aidil berjaya meletakkan The Cats di tangga keempat Liga Super musim lalu.
Tempat keempat musim lalu di Liga Super merupakan pencapaian terbaik Kuching City.
Pencapaian Aidil tidak dipandang sepi apabila diraikan sebagai jurulatih terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) yang diadakan selepas musim 2024/2025 tamat.
Asas yang dibina musim lalu pastinya akan digunakan sebaiknya dalam membina skuad lebih mantap musim ini dan mencipta lebih banyak kejayaan.
Segalanya dalam kawalan
Aidil jelas sekali gembira dengan kehidupannya di Sarawak buat masa sekarang kerana dia diberikan peranan utama dalam membentuk skuad Kuching City.
Pengendali itu diberikan kebebasan untuk mendapatkan mana-mana pemain yang dililhat sesuai dengan taktikalnya serta selari dengan bajet kelab.
Danial Asri antara wajah baharu di Kuching City.
Ia dapat dilihat apabila untuk musim baharu, Aidil membawa masuk ramai pemain seperti Danial Asri, Haziq Nadzli dan Gabriel Nistelrooy.
Aidil menunjukkan komitmennya untuk membina kejayaan dalam jangka masa panjang bersama Kuching City dan rekrut dilakukannya menunjukkan perkara tersebut.
Tawaran datang sekali sekala
Walaupun dilihat sedang bahagia bersama Kuching City, namun begitu tawaran untuk mengendalikan negara sendiri hadir bukannya selalu.
Aidil mengaku yang dia bersedia untuk berkhidmat untuk negaranya walaupun sedang terikat bersama Kuching City. Dia hanya menanti saja tawaran untuk membawa dirinya pulang.
Singapura masih berpeluang layak ke Piala Asia 2027.
Jika tawaran itu baik, dia mungkin akan kembali dan meninggalkan projek bersama Kuching City. Namun, tak akan semudah itu untuk dia pergi?
Antara mencipta legasi hebat di luar negara atau menjadi wira di tanah air, Aidil ada keputusan penting perlu dilakukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram