Sebelum tercalon di Kedah tapi tiada rezeki, kali ini milik saya — Aidil Sharin


  • Podium
  • Khamis, 24 Apr 2025

Aidil (empat kiri) berjaya membawa pasukan yang musim lalu menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-13 melonjak ke tangga keempat liga pada musim ini. — Facebook/Kuchingcityfc

KETUA Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Jurulatih Terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu.

Pernah tercalon pada musim 2019 sehingga 2021, Aidil akhirnya berjaya membuktikan kredibilitinya untuk meraih gelaran Jurulatih Terbaik selepas kecemerlangan membawa Kuching City menduduki tangga keempat Liga Super pada musim kedua dalam saingan elit Liga Malaysia itu.

Ia merupakan pencapaian terbaik Kuching City yang pada awal penubuhannya sebagai kelab amatur yang bersaing dalam Liga Bola Sepak Rakyat pada 2015 sehingga kini berdiri gah dalam kelompok terbaik pasukan Liga Super, lapor MFL.

BACA LAGI: [VIDEO] Faham soalan bahasa Thai, Ubai seperti sudah ada destinasi baharu jika tinggalkan Terengganu

BACA LAGI: Mungkin tinggalkan JDT usai kontrak tamat, ada 3 kelab Indonesia patut sambar Jordi Amat

“Sebelum ini saya pernah tercalon ketika mengemudi Kedah dan rezeki masih belum berpihak kepada saya.

“Tetapi kali ini ALHAMDULILLAH saya berpeluang juga untuk merangkul gelaran Jurulatih Terbaik dan ini semua hasil kerjasama satu pasukan untuk Kuching City menamatkan kedudukan lebih baik di Liga Super”, katanya.

Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak (kanan). — Facebook/MFL

Jurulatih kelahiran Singapura itu berjaya mengetepikan dua calon lain iaitu pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio dan jurulatih Selangor FC, Kinoshi Katsuhito untuk merangkul anugerah berprestij tersebut.

Pengiktirafan itu diberikan sebagai penghargaan terhadap kejayaan luar biasa Aidil dalam membawa perubahan besar kepada prestasi The Cats sejak dilantik pada Ogos 2023.

Mengambil alih tugas daripada Irfan Bakti, Aidil berjaya membentuk pasukan Kuching City menjadi sebuah pasukan yang lebih kompetitif dan berdisiplin di pentas Liga Super.

Di bawah kendaliannya, Kuching City menamatkan saingan Liga Super musim 2024/2025 di kedudukan keempat dengan mengumpul 39 mata, hanya satu mata di belakang Sabah FC yang menduduki tempat ketiga.

Pencapaian itu dianggap luar biasa memandangkan Kuching City FC sebelum ini sering bergelut untuk kekal dalam kelompok pertengahan liga.

Sebagai rekod, Anugerah Jurulatih Terbaik bagi musim 2023 dimenangi oleh bekas jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram