Bek kiri 'flop' Selangor, bekas bintang buruan DPMM dalam radar kelab Pantai Timur


  • Podium
  • Jumaat, 27 Jun 2025

Ruventhiran (kiri) hanya merekodkan 17 penampilan selepas hampir tiga tahun bersama. — Facebook/SelangorFC

KELANTAN Darul Naim (KDN) FC membuktikan tuduhan-tuduhan mengenai tunggak gaji terhadap pemain adalah tidak benar selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tampil mengesahkan perkara berkenaan.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada 19 Jun lepas, badan pengelola Liga Super itu menjelaskan masalah hanya dihadapi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) pasukan, sekali gus membolehkan kelab Pantai Timur tersebut memperolehi lesen kebangsaan.

Sebelum ini, segelintir bekas pemain menyatakan rasa kurang senang dengan pihak pengurusan kelab tersebut yang lebih memikirkan perancangan musim depan berbanding membantu skuad terdahulu.

BACA LAGI: KDN FC tak langgar peraturan, isu gaji hanya babit skuad B-23 — MFL

BACA LAGI: Kuota 15 pemain import: Usah harap MFL akan buat pusingan U

Usai dakwaan berkenaan dijelaskan, kelab Pantai Timur tersebut nampak agresif membawa masuk pemain baharu sebagai persiapan Liga Malaysia (Liga M) mejelang kempen 2025/2026 yang bermula Ogos nanti.

Terbaharu, skuad Kijang Emas dikaitkan akan membawa masuk dua tonggak pertahanan pada jendela perpindahan ini iaitu pemain Selangor FC, V. Ruventhiran dan bekas bek kiri Sri Pahang, Azwan Aripin.

Perkembangan itu dikongsikan oleh pemerhati bola sepak negara, T. Avineshwaran menerusi platform X miliknya.

Ruventhiran yang menyertai Gergasi Merah pada 2023 itu mengalami dua musim hambar bersama Selangor susulan pemain berusia 23 tahun hanya merekodkan 17 penampilan selepas hampir tiga tahun bersama.

Kekurangan minit permainan di Selangor itu memberi petanda kepada bekas pemain Petaling Jaya City FC itu untuk menyertai pasukan untuk mengembalikan potesinya, sekali gus kembali menyarung jersi kebangsaan.

Manakala, Azwan pula merupakan tonggak penting untuk Sri Pahang apabila beraksi dalam 20 perlawanan sepanjang musim 2023/2024 dan menjadi pemain utama dalam kesemua perlawanan musim 2024/2025 bersama skuad Tok Gajah.

Dengan kelabnya iaitu Sri Pahang sudah disahkan menarik diri daripada saingan Liga Malaysia, bek kiri berusia 29 tahun itu pasti juga sedang mencari majikan baharu untuk meneruskan perjuangan dalam liga domestik.

Sebelum ini, pendatang baharu Liga Super iaitu Brunei DPMM FC juga memburu Azwan bagi saingan musim depan namun hasrat berkenaan tidak menjadi kenyataan.

Sekiranya dua pemain tersebut berhasil ditandatangani oleh KDN FC, Ruventhiran dan Azwan boleh membantu memperbaiki masalah pertahana mereka yang dibolosi 82 gol pada kempen 2024/2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram