KDN FC tak langgar peraturan, isu gaji hanya babit skuad B-23 — MFL


  • Podium
  • Khamis, 19 Jun 2025

Sesetengah bekas pemain Kijang Emas mempersoalkan kelonggaran diberikan MFL terhadap kelab itu. — Facebook/KDN FC

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC tiada sebarang isu tunggakan gaji seperti mana digemburkan sesetengah bekas pemain di media sosial.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada Khamis, badan pengelola Liga Super itu menjelaskan masalah hanya dihadapi skuad Bawah 23 Tahun (B-23) pasukan, sekali gus membolehkan kelab Pantai Timur tersebut memperolehi lesen kebangsaan.

"First Instance Body (FIB) menerusi Unit Pelesenan Kelab MFL membuat semakan dengan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan mengesahkan KDN FC tidak memiliki tunggakan gaji bagi pasukan utama Liga Super KDN FC setakat 31 Disember 2024.

BACA LAGI: Kewajaran MFL tetapkan kuota 15 tenaga import timbulkan persoalan

BACA LAGI: Kuota 15 pemain import: Usah harap MFL akan buat pusingan U

"Bagaimanapun, KDN FC mengemukakan dokumen sokongan mengenai pelan pembayaran ansuran tunggakan gaji pasukan bawah 23 tahun menerusi surat persetujuan bersama yang ditandatangani semua pemain terlibat," tulisnya.

Sebelum ini, segelintir bekas pemain menyatakan rasa kurang senang dengan pihak pengurusan kelab tersebut yang lebih memikirkan perancangan musim depan berbanding membantu skuad terdahulu.

Dalam meluahkan rasa kecewa itu, mereka berkongsi perasaan di media sosial yang sekali gus menimbulkan keraguan dalam kalangan peminat bagaimana KDN FC memperolehi lesen kebangsaan.

Jadi, melihat kepada kenyataan dikeluarkan itu, skuad Kijang Emas sememangnya layak beraksi dalam Liga Super 2025/26 kerana tiada tunggakan sebelum berakhirnya Disember tahun lalu.

Faizal Talib merupakan antara bekas pemain yang menyatakan kekecewaan terhadap pengurusan kelab.

Badan pengelola itu turut menyatakan tunggakan berhubung agensi kerajaan juga akan diuruskan selepas kelab tersebut mengemukakan dokumen menyatakan isu berkenaan akan diselesaikan.

"Berhubung tunggakan kepada agensi kerajaan, KDN FC mengemukakan surat permohonan pelan bayaran ansuran kepada pihak KWSP dan PERKESO dengan cop rasmi oleh kedua-dua agensi tersebut.

"Sebagai langkah susulan, pihak FIB mengarahkan Unit Pelesenan Kelab MFL untuk memantau pematuhan terhadap pelan ansuran tersebut melalui penghantaran bukti resit bayaran secara berkala sehingga keseluruhan tunggakan diselesaikan," tulisnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram