'Saya tak peduli', Kinoshi enggan layan dakwaan Safuwan 'dibuang' Selangor FC


  • Podium
  • Selasa, 10 Jun 2025

Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi (dua kiri).

KETUA Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi enggan mengulas panjang berhubung kenyataan kontroversi kapten pasukan, Safuwan Baharudin kononnya tiada dalam perancangan kelab.

Namun, pengendali Gergasi Merah itu menegaskan bahawa fokus utamanya kini adalah membentuk pasukan mantap bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia (Liga M).

Kinoshi dalam sidang media pada Selasa menjelaskan bahawa pihak kelab masih belum membuat keputusan muktamad mengenai senarai pemain untuk musim hadapan.

BACA LAGI: Jangan tunggu lagi, 3 bintang warisan baharu wajar turun berdepan Vietnam

BACA LAGI: Kalau ada peluang, saya mahu melatih Selangor FC — Honda

Safuwan menyatakan bahawa dia tidak lagi diperlukan dalam pasukan dan memilih untuk mencari peluang lain yang lebih sesuai dengan perancangannya. — Facebook/Selangorfc

“Saya tak peduli, saya tidak boleh bercakap mengenai skuad sekarang kerana kami belum memutuskan apa-apa daripada pihak pengurusan sendiri.

“Belum ada keputusan rasmi mengenai siapa yang akan kekal atau dilepaskan, termasuk Safuwan,” katanya kepada Majoriti selepas Sidang Media Perlawanan Persahabatan antara Selangor FC dan Asia Warriors FC di Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Sebelum ini, pertahanan kelahiran Singapura itu mendedahkan bahawa dirinya tidak berada dalam perancangan pasukan musim depan.

Safuwan mendedahkan bahawa dia tidak lagi diperlukan oleh Gergasi Merah meskipun memiliki kontrak setahun bersama kelab tersebut.

Bek tengah itu menjelaskan bahawa keputusan untuk meninggalkan kelab Lembah Klang dibuat kerana tidak dimasukkan dalam senarai pemain utama oleh Kinoshi yang juga mesra dipanggil sebagai Kino.

Untuk rekod, Selangor FC akan menentang Asia Warriors FC dalam perlawanan persahabatan yang bakal berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada 27 Julai nanti.

Antara bintang ternama yang dijangka membarisi Asia Warriors FC ialah legenda Jepun, Keisuke Honda, Baihakki Khaizan (Singapura), Anton Del Rosario (Filipina), selain dua bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin dan Razman Roslan.

Pertemuan menarik itu dijangka menarik ribuan penyokong ke Stadium MBPJ, memandangkan ia bakal menjadi perlawanan istimewa menampilkan gabungan pemain generasi kini dan dahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram