PIBG MCKK selar tindakan keluarga murid tularkan kes buli dakwa burukkan imej sekolah


  • Massa
  • Isnin, 06 Nov 2023

Mangsa buli di MCKK yang tular di media sosial sejak Jumaat. — Instagram/@okpastu

PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak (MCKK) menyelar tindakan ahli keluarga pelajar yang menularkan kejadian buli kerana menganggap ia memberi imej buruk kepada sekolah berasrama penuh tersebut.

Pihaknya dikatakan mengambil maklum terhadap kes disiplin yang telah disiasat dan diambil tindakan oleh pihak sekolah, katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.

Persatuan berkenaan juga mengambil pendirian bahawa keputusan yang diambil pihak sekolah perlu dihormati atas dasar pertimbangan yang sewajarnya diberikan atas faktor kebajikan dan kebaikan semua pihak.

“Pihak sekolah telah mematuhi semua tatacara dan prosedur sewajarnya dalam mengambil keputusan. Keputusan yang diambil oleh pihak sekolah dianggap telus tanpa sebarang campur tangan oleh mana-mana pihak.

“PIBG MCKK mengambil maklum ancaman penularan kes ini melalui surat yang diutuskan oleh sekumpulan ibu bapa murid-murid tingkatan empat sekiranya keputusan dan tindakan semasa pihak sekolah ke atas murid terlibat tidak diubah.

"Kami menyelar tindakan cubaan campur tangan ibu bapa tersebut di dalam pengurusan sekolah ini,” kata kenyataan itu.

Pada Jumaat, tular di media sosial berkenaan kes buli yang melibatkan seorang pelajar tingkatan empat sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar itu dipercayai dibuli oleh senior.

msg1050426791-18552

Hantaran yang tular berkenaan kes buli tersebut pada Jumaat. — Instagram/@okpastu

Pada masa sama, turut tular sepucuk surat rayuan tentang keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku-pelaku yang diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.

Justeru, PIBG sekolah itu mencadangkan beberapa langkah kepada pihak MCKK iaitu para pelajar tidak dibenarkan keluar bersendirian ke Kuala Kangsar bagi satu tempoh yang bersesuaian sehingga isu diselesaikan manakala mereka tidak akan membalas sebarang serangan atau provokasi diterima dari pihak luar.

Selain itu, para pelajar MCKK akan membuat laporan kepada pihak sekolah sekiranya berlaku gangguan serangan atau provokasi oleh pihak luar sepanjang berada di Kuala Kangsar.

“Pihak MCKK akan membantu membuat laporan polis sekiranya berlaku kacau ganggu kepada murid MCKK. Pihak kaunseling MCKK terus memantau sebarang gangguan emosi yang mungkin berlaku di kalangan pelajar-pelajar,” katanya.

msg1050426791-18553

Surat rayuan yang disertakan dalam hantaran tersebut. — Instagram/@okpastu

Sekali lagi, PIBG MCKK menegaskan bahawa kesal dengan tindakan keluarga murid tersebut yang dianggap tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri sehingga menularkan kes ini.

“PIBG MCKK yakin kes ini akan memberi pengajaran kepada ibu bapa lain agar tidak mencampuri urusan sekolah dan meyakini serta berlapang dada kepada sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan MCKK.

“Keputusan dan pertimbangan oleh pihak sekolah dan pengetua adalah semata-mata untuk kebajikan, kebaikan dan kejayaan semua pelajar MCKK di masa hadapan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, pada Sabtu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian buli membabitkan pelajar lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram