[VIDEO] Pasang cita-cita jadi bek Selangor FC, Aqil Farhan tidak kisah dikecam tunjuk latihan main bola


  • Podium
  • Selasa, 24 Jun 2025

Aqil pada awalnya tidak menyangka hobinya untuk merekod dirinya berlatih mendapat sambutan orang ramai.

PENCIPTA kandungan dan pemain bola sepak amatur, Aqil Farhan tidak berdalih menyatakan impiannya untuk menyarung jersi pasukan negeri kelahirannya, Selangor FC satu hari nanti sekiranya dapat bermain secara profesional.

Aqil yang baru menjangkau usia 22 tahun mula dikenali orang ramai apabila sering berkongsi rutin latihannya bermain bola sepak di platform TikTok dengan ia juga merupakan usaha untuk memperbaiki kualitinya.

Pada awalnya, tidak dinafikan Aqil sering menerima kecaman di media sosial gara-gara memuat naik rutin latihan bola sepak namun penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Johor itu menganggap ia sebagai asam garam perjuangan.

BACA LAGI: 'Saya nak beri dia makan roti canai dan nasi lemak', Safee Sali sedia main gim kawal John Terry, teruja diletak sebaris 3 bintang EPL

BACA LAGI: Lupakan EPL, Kogi kongsi jadual Liga Korea, sepatutnya wajar jadi contoh MFL

"Aqil bersyukur dengan peluang yang ada sekarang. Kecaman itu dah biasa bagi Aqil, sekarang pun rasa macam dah lali. Tanpa kecaman yang dilontarkan itu, mungkin nama Aqil pun tak dikenali.

"Aqil harap dapat teruskan momentum ini dan, untuk budak-budak yang masih main bola and ada impian untuk pergi profesional, buat apa yang anda suka dan sentiasa percaya diri sendiri," katanya kepada Majoriti.

Berkat tidak putus asa dengan bola sepak, Aqil mendapat peluang menyertai banyak kejohanan komuniti termasuk beraksi di padang ikonik Old Trafford dan menyertai aksi bola sepak tujuh sebelah Zurich Liga 7x7 All Stars 2025 pada 19 Julai 2025 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur.

Aqil merupakan salah satu pempengaruh yang terpilih bermain untuk Zurich Liga 7x7 All Stars 2025 dengan acara itu melibatkan legenda Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Ryan Giggs, Dimitar Berbatov, John Terry dan bekas bintang kebangsaan, Safee Sali.

"Alhamdulillah, dapat banyak peluang macam ini. Dapat main dekat Old Trafford itu pun satu benda yang Aqil tak sangka langsung. Lepas itu dapat sertai Liga X, sebaris dengan pemain yang pernah wakil negeri dan main di tahap lebih tinggi.

"Peluang dapat bermain dengan pemain yang sangat berpengalaman and legendary (legenda) dekat Malaysia seperti abang Safee memang banyak beri nasihat untuk Aqil supaya improve (perbaiki) lagi diri sebagai pemain bola. Tips yang mereka beri itu sangat berguna.

"Aqil sangat bersyukur sebab dapat peluang untuk main bersama dengan mereka. Sebelum ini tengok mereka dekat televisyen saja, masa budak-budak dulu. Sekarang dapat main sekali, memang tak sangka," tambahnya yang juga pemain posisi bek kanan.

Ditanya perancangannya untuk bermain secara profesional, Aqil menjelaskan mahu menghabiskan pengajiannya terlebih dahulu sebelum mencuba nasib secara serius dalam dunia bola sepak profesional.

Meskipun pernah menerima beberapa tawaran daripada kelab liga amatur dan semi-pro termasuk Kuala Lumpur Rangers, Aqil memilih untuk tidak terburu-buru dalam mengejar cita-citanya tersebut.

"Buat masa sekarang, Aqil tak fokus mencari kelab sebab tengah belajar. Memang tidak boleh nak bagi komitmen untuk latihan sebab bila Aqil sertai satu pasukan, latihan akan ada setiap minggu.

"Risau latihan akan ganggu pelajaran sebab Aqil memang fully study (belajar sepenuh masa) dekat Johor. Nak ulang-alik KL agak susah lah. Sebab itu Aqil ambil keputusan untuk habiskan degree (ijazah) dulu. Ibu juga punya impian nak Aqil habiskan degree and baru fokus bola.

"Sebelum ini pernah dapat tawaran dari kebanyakan pasukan-pasukan amatur macam Amateur League and Semi-Pro League pun ada juga satu dua tawaran. Sebelum ini ada dapat tawaran daripada Kuala Lumpur Rangers.

"I just go with the flow (Saya hanya ikut keadaan) kalau setahun tiada tawaran. Kalau nak cakap, obviously (memang) main untuk Selangor. Sebab Aqil lahir di Selangor, salah satu impian saya mahu bermain bersama Selangor. Kalau ada rezekilah," kongsinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram