
SELANGOR FC memulakan kempen 2025/2026 dengan mendapatkan pemain baharu dari Thailand iaitu Picha Autra dari Muangthong United.
Pemain berusia 29 tahun itu hadir dengan reputasi besar sebagai ketua pasukan kelab Thai League 1, ditambah mereka pernah saling bertemu dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) pada musim lalu.
Namun begitu, timbul kerisauan melibatkan pemain-pemain dari Thailand. Hal ini kerana, beberapa nama dari negara Gajah Perang sebelum ini dilihat tidak berjaya dalam Liga Super seperti Adisak Kraisorn dan Dennis Buschening.
BACA LAGI: 'Kami mahu duit kami', pemain Kelantan Warriors tuntut tunai janji selepas menang STL Divisyen 1
Autra mungkin boleh terjatuh dalam perangkap yang sama. Namun begitu, pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, segalanya terserah kepada pemain tengah itu.
Baginya, usaha untuk berjaya memerlukan kerjasama dua hala antara Autra dan pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi. Paling penting, Autra harus segera menyesuaikan diri dengan iklim bola sepak Malaysia.
"Seperti situasi Picha Autra dan Selangor sekarang, kita kena lihat bagaimana Katsuhito Kinoshi bakal memanfaatkan dia serta Autra sendiri mampu atau tidak cepat sesuaikan diri dalam permainan Gergasi Merah.
"Mendapatkan Autra adalah satu keputusan yang bagus. Selangor perlukan berikan nafas baharu kepada posisi tengah mereka. Autra ada latar belakang cukup baik di Thailand. Sudah tentu pengalaman Selangor sebelum ini yang hadapi Picha sebanyak dua kali musim lalu jadi salah satu asbab mereka tertarik mendapatkan khidmatnya," jelas Afiq kepada Majoriti.
Hadir sebagai ketua pasukan, terdapat potensi untuk Autra akan terus diangkat sebagai ketua pasukan baharu Selangor menggantikan Safuwan Baharudin yang tidak lagi dalam perancangan Kinoshi.
Namun begitu, Afiq berpendapat sebaliknya. Lilitan lengan harus diberikan kepada pemain yang sudah bersama Selangor seperti Nooa Laine yang sering dominan di tengah padang.
"Autra baru pertama kali hadir ke Malaysia dan Selangor. Dia perlu buktikan dirinya (dahulu) berbaloi seperti apa dipamerkan Safuwan bersama Selangor. Sekurangnya, sikap kepimpinan di atas padang.
"Oleh itu, lebih baik Nooa Laine menjadi kapten Selangor dahulu. Laine ada watak yang bagus atas padang. Sedangkan untuk skuad kebangsaan pun dia dominan sekarang. Dari segi posisi, dia berada di tengah. Visi dia lagi jelas untuk pacu rakan sepasukan baik di atas atau bawah padang," ulasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram