Safiq Rahim mahu fokus keluarga, tak beri bayangan kelab baharu


  • Podium
  • Isnin, 23 Jun 2025

Safiq sebelum ini dikaitkan dengan beberapa pasukan selepas dilepaskan oleh JDT. — Facebook/JDT

TONGGAK tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada Harimau Selatan selepas sedekad bermain untuk kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M) tersebut. 

Menerusi pengumuman kelab pada minggu lepas, pemain berusia 37 tahun berkenaan diletakkan bersama 11 orang pemain yang tidak berada dalam perancangan JDT untuk kempen Liga M musim 2025/2026. 

Susulan pengumuman tersebut, ramai penyokong Harimau Selatan menyuarakan pandangan mereka mahu menyaksikan Safiq untuk kekal bersama juara 11 kali Liga Super berturut-turut itu dengan menyertai staf kejurulatihan.

BACA LAGI: Penyertaan Kedah-Perak-Kelantan bawa dimensi baharu Liga A1, jangan terkejut jika lebih meriah berbanding Liga Super

BACA LAGI: Ditunjukkan jalan keluar oleh JDT, Safiq Rahim boleh kembali tabur bakti bersama Selangor-Melaka

Tidak kurang juga ada yang mahu menyaksikan bekas pemain kebangsaan berkenaan bermain untuk kelab lain memandangkan pengalaman dan kualiti dimiliki Safiq masih berada pada tahap baik untuk kempen Liga Super. 

Walaupun sudah ramai bercakap-cakap mengenai masa depannya, Safiq bagaimanapun tetap dengan pendiriannya mahu memberi tumpuan terlebih dahulu kepada keluarga dan anaknya yang kini berada dalam keadaan tidak sihat.

Memetik laporan dari Astro Arena, bekas pemain Melaka dan Selangor berkenaan mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya berikutan sebelum ini, Safiq sibuk dengan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional. 

"Saya mahu memberi fokus kepada keluarga dahulu. Mereka memerlukan saya sekarang ini.

"Sebelum ini, saya tiada mempunyai masa banyak dengan mereka. Saya harap anak saya cepat sembuh dan doakan yang terbaik pada masa akan datang," katanya memetik laporan Astro Arena pada Ahad. 

Untuk info, anak lelaki pemain Safiq iaitu Muhammad Zafiq Zafrul, 5, dikhabarkan menghidap Leukemia Limfoblastik Akut Pra-B dengan dia kini sedang menjalankan rawatan selepas disahkan menghidap penyakit tersebut.

Muhammad Zafiq disahkan menghidap Leukemia Limfoblastik Akut Pra-B. — Instagram

Menerusi hantaran dikongsikan isterinya, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi di laman Instagramnya pada April lepas, Muhammad Zafiq memulakan rawatan kimoterapi buat pertama kali pada 22 April lalu. 

Untuk rekod, Zandra yang juga bekas atlet boling negara itu mendirikan rumah tangga dengan Safiq Rahim 2 Februari 2014.

Pasangan itu juga dikurniakan empat putera dan dua daripadanya didiagnos sebagai kanak-kanak autistik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram