'Roket Bosnia' tiba di Pulau Pinang, Sipovac sedia gegar Liga Super bersama Harimau Kumbang


  • Podium
  • Isnin, 23 Jun 2025

Sipovac dianggap antara pemain sayap terpantas di Eropah dengan kelajuan mencecah 36 km/j, hanya 2 km/j di belakang bintang Real Madrid, Kylian Mbappe. — Facebook/Penangfc

PENANG FC melaung amaran awal kepada pencabar Liga Super musim 2025/2026 dengan memperkenalkan pemain sayap sensasi dari Bosnia, Danilo Sipovac sebagai import baharu mereka.

Sipovac, 25, yang terkenal dengan kelajuannya, disifatkan sebagai antara pemain sayap terpantas di Eropah ketika ini dengan catatan kelajuan maksimum mencecah 36 kilometer sejam (km/j), hanya 2km/j di belakang bintang sensasi Perancis dan Real Madrid, Kylian Mbappe.

Kehadirannya dijangka memberi lonjakan besar kepada kekuatan bahagian serangan Harimau Kumbang menjelang musim 2025, apatah lagi dia tampil cemerlang musim lalu bersama BSK Banja Luka dalam divisyen kedua Bosnia dengan tujuh gol dan lima assists dalam hanya 15 penampilan sebagai kesebelasan utama.

BACA LAGI: Keadaan tip-top bertaraf dunia, cuma 3 stadium tanah air sepi 'tak berpenghuni'

BACA LAGI: [VIDEO] Belum lagi beraksi, chant jerit nama Dion Cools sudah bergema di bumi Jepun

Skuad Harimau Kumbang kini tampil lebih bersedia untuk mencabar pasukan lain dalam saingan Liga Super dengan kehadiran barisan pemain berkualiti tinggi.Facebook/Penangfc

Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui telah lama memantau prestasi Sipovac dan tertarik dengan corak permainan pantas dan agresif yang ditampilkan pemain itu.

“Tawaran dari Pulau Pinang hadir selepas saya mempamerkan prestasi konsisten musim lalu. Mereka menunjukkan minat yang serius dan saya yakin ini langkah terbaik untuk perkembangan karier saya.

“Saya teruja bermain dalam Liga Malaysia yang semakin berkembang. Saya mahu buktikan kemampuan diri dan bantu pasukan capai kejayaan. Semua di sini menyambut saya dengan cukup baik," kata Sipovac.

Sipovac juga memuji falsafah bola sepak menyerang yang diterapkan jurulatih, menyifatkannya serasi dengan gaya permainannya.

“Saya suka pendekatan menyerang yang diterapkan jurulatih. Kelajuan adalah kekuatan utama saya dan saya mahu gunakan ia sebaik mungkin untuk beri impak di liga ini,” katanya lagi.

Kehadiran Sipovac menambah variasi dan kreativiti dalam jentera serangan Harimau Kumbang yang turut dibarisi pemain berpengalaman seperti Tchetche Kipre, Bruno Suzuki dan pemain lincah Australia, Dylan Wenzel-Halls.

Sebelum menyinar di Bosnia, Sipovac pernah berkelana di beberapa kelab Eropah Timur termasuk FC Koper (Slovenia), Bokelj (Montenegro) serta beberapa kelab Bosnia seperti Zvijezda, Sloga Meridian, Zrinjski Mostar, FK Krupa dan Leotar Trebinje.

Penyokong Harimau Kumbang pastinya berharap kelajuan dan ketajaman Sipovac mampu mengubah nasib pasukan yang hanya menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-10 musim lalu. — The Star/T.AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram