Dua kali bertemu di Asia musim lalu, Selangor umum jeneral Thai rekrut pertama musim 2025/26


  • Podium
  • Ahad, 22 Jun 2025

Bukan lagi teka-teki, Picha Autra kini milik Selangor FC. — Facebook

SELANGOR FC secara rasmi mengumumkan perolehan pemain tengah berbakat dari Chiang Mai, Thailand, Picha Autra, melalui kenyataan di laman Facebook rasmi pasukan pada hari Ahad.

Picha berusia 29 tahun menyertai naib juara Liga Super musim 2024/2025 itu dari Muangthong United FC, yang mana beliau telah mencatat 159 penampilan dan pernah dilantik sebagai kapten pasukan.

Beliau cukup dikenali dengan hantaran kaki kanan yang tepat serta pengaruh yang kukuh di tengah padang.

BACA LAGI: Pengguguran pemain import keputusan tepat demi prestasi Sang Penyu – Legenda Terengganu

BACA LAGI: Dapat sokongan TMJ lepas 'kisah gelap' antara 3 momen penting Farizal Marlias bersama JDT

Picha Autra sah menyarung jersi Merah Kuning. Facebook/Selangorfc

Picha bukanlah asing dengan skuad Selangor, selepas mengetuai Muangthong United dalam pertembungan menentang Gergasi Merah pada saingan kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim lalu.

Beliau membantu pasukannya mencatat keputusan seri 1-1 pada 19 September 2024 dan menang 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada 28 November.

Pada peringkat antarabangsa, bekas bintang The Kirins itu menerima panggilan pertama ke skuad senior Thailand pada 2019 dan terus mewakili negaranya dalam Kejohanan AFF 2020 serta Sukan SEA 2017, menyumbang pingat emas dalam kedua-dua kejohanan tersebut.

"Bagi peminat Selangor FC, Picha bukanlah wajah baru, beliau pernah berdepan The Red Giants dalam pusingan kumpulan Liga Juara AFC musim lalu sebanyak dua kali, kini tiba masanya beliau menyarung jersi Merah Kuning!," kata kenyataan tersebut.

Picha juga dilihat sebagai calon utama untuk mengisi kuota pemain import Asean di Selangor FC yang sebelum ini diisi oleh kapten Gergasi Merah, Safuwan Baharudin.

Dengan kedatangan Picha Autra, Selangor FC berharap dapat memperkukuh barisan tengah dan menambah dimensi baharu buat misi mereka musim akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram