
LEGENDA Terengganu FC (TFC), Che Ku Marzuki menyokong penuh keputusan pengurusan Sang Penyu untuk menggugurkan beberapa pemain import menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Menurut Che Ku, langkah tersebut adalah wajar kerana prestasi kebanyakan pemain import yang dilepaskan tidak mencapai tahap konsisten dan gagal memberikan impak besar kepada pasukan musim lalu.
"Saya bersetuju pemain import digugurkan kalau boleh semua kecuali yang masih ada kontrak, lebih baik cari yang muka baru.
BACA LAGI: Dapat sokongan TMJ lepas 'kisah gelap' antara 3 momen penting Farizal Marlias bersama JDT
BACA LAGI: 'Midfield' import jadi rebutan skuad Jang-Kuching City andai tempoh di Lembah Klang tamat
"Pemain import yang digugurkan itu memang sepatutnya digugurkan kerana prestasi semasa bermain tidak konsisten, ada masa bagus, ada masa kurang memuaskan. Itu tidak cukup untuk pasukan yang berhasrat bersaing di peringkat tertinggi,” katanya kepada Majoriti.
Antara nama yang dilepaskan oleh Sang Penyu termasuk Ismaheel Akinade, Manuel Ott, Ivan Mamut dan Nelson Bonilla.
Walaupun keputusan tersebut menerima reaksi bercampur daripada penyokong, Che Ku tetap yakin ia langkah ke arah penambahbaikan.
Beliau turut mengakui Akinade menunjukkan sedikit peningkatan, khususnya dengan rekod 10 gol dalam 35 perlawanan, namun secara keseluruhan sumbangan pemain Nigeria itu masih belum cukup meyakinkan.
"Akinade ada jaringkan beberapa gol, tapi dari segi prestasi keseluruhan, masih belum cukup konsisten," jelasnya.
Meskipun dilepaskan namun Che Ku memuji ketajaman Akinade depan pintu gawang sepanjang karier bersama TFC. — Facebook/TFC
Che Ku turut mengulas tekanan yang dihadapi pihak pengurusan apabila pemain import gagal menyumbang kepada kemenangan.
“Bila import tak bantu pasukan menang, penyokong mula persoalkan gaji mahal, tapi tak berbaloi. Ini memberi tekanan bukan sahaja kepada pemain, tapi juga kepada pegawai dan pengurusan pasukan,” katanya.
Tambahnya, perubahan besar terhadap barisan import adalah wajar jika pasukan berada di kedudukan pertengahan liga.
“Kalau kedudukan pasukan di tangga keempat, kelima atau keenam, memang patut ada perubahan. Tetapi kalau di tempat kedua atau ketiga, tiada keperluan untuk rombak banyak. Kalau nak gugurkan pun, seorang cukup,” ujarnya.
Sang Penyu melepaskan ramai pemain import menjelang musim 2025/2026. — Facebook/TFC
Mengulas keputusan TFC yang kini dilihat lebih cenderung memberi tumpuan kepada pemain tempatan, Che Ku menyifatkan ia sebagai satu tindakan bijak dan realistik, terutamanya dalam keadaan ekonomi semasa dan ketiadaan penaja utama.
“TFC tidak mampu untuk mengisi kouta penuh 15 pemain import seperti dibenarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Jadi lebih baik fokus kepada pemain tempatan yang ada potensi,” katanya.
Menurutnya, hanya jika TFC layak ke kejohanan seperti Piala AFC, barulah wajar untuk memperbesarkan skuad termasuk menambah import.
Beliau turut merujuk kepada situasi yang melanda beberapa pasukan lain sebagai pengajaran.
“Kita lihat Kedah, Perak dan Sri Pahang, semuanya hadapi cabaran besar kerana tidak berbelanja ikut kemampuan. Apa yang TFC buat sekarang lebih selamat dan bertanggungjawab,” tambahnya.
Sebagai bekas pemain, Che Ku yakin pendekatan itu bukan saja relevan dari sudut kewangan, tetapi juga mampu membuka ruang kepada bakat tempatan untuk menyerlah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram