
DALAM dunia yang semakin moden, ramai mula mencari kelainan dengan menghiasi rumah mereka menggunakan dekorasi antik dan perabot vintaj.
Selain menambah karakter serta keunikan, barang-barang itu juga membawa nostalgia dan cerita tersendiri yang sukar didapati pada perabot moden biasa.
Jika anda berada di Kuala Lumpur atau Lembah Klang dan berminat untuk mencari barang-barang sebegini, ada beberapa tempat menarik yang wajib anda kunjungi.
BACA LAGI: Lelaki ganggu bekas kekasih selama setahun, buat pesanan palsu selepas tolak lamaran berkahwin
Salah satu lokasi popular ialah Amcorp Mall di Petaling Jaya yang terkenal dengan pasar lambak hujung minggu.
Di sana, anda boleh menemui pelbagai gerai yang menjual perabot antik, koleksi vintaj, serta barangan lain seperti barang kemas, rekod muzik lama dan mainan klasik.
Pasar itu menawarkan pengalaman membeli-belah yang unik kerana setiap gerai mempunyai tawaran berbeza-beza dan anda tidak akan tahu apa akan anda ditemui.
Bagi penggemar gaya 'mid-century modern', Recro Furniture di Taman Tun Dr Ismail adalah syurga perabot dengan rekaan dari era 1950-an dan 1960-an.
Perabot asli ditawarkan mempunyai reka bentuk minimalis dan elegan, sesuai untuk mereka yang menggemari estetika retro klasik.
Selain menjual, kedai itu juga menyediakan servis pemulihan perabot sekali gus membolehkan anda menghidupkan semula perabot lama dengan sentuhan baharu.
Jika anda lebih tertarik dengan dekorasi baharu tetapi berinspirasikan gaya retro, TriBeCa Artisan di Bangsar Village II menawarkan pelbagai aksesori rumah dan perabot yang membawa aura nostalgia.
Dari lampu, cermin hingga kerusi rotan, semuanya direka untuk memberi sentuhan retro yang segar dan bergaya.
Bagi pencinta barang antik kecil dan koleksi tradisional Asia, Central Market di Kuala Lumpur adalah lokasi yang tidak boleh dilepaskan.
Di Central Market atau lebih dikenali sebagai Pasar Seni, anda boleh mendapatkan pelbagai barangan seperti pinggan mangkuk lama, jam antik, alat muzik tradisional dan koleksi yang berasal dari Malaysia serta negara-negara Asia lain.
Di Pasar Seni anda juga boleh mendapatkan barangan antik.
Tidak ketinggalan, Koleksi Malaya yang terletak di Bandar Tun Razak pula menawarkan barang-barang antik kopitiam klasik seperti meja serta kerusi lama, cawan bercorak hijau, serta televisyen dan radio antik.
Walaupun hanya dibuka berdasarkan temu janji, kedai itu tetap menjadi pilihan mereka yang mahu merasai suasana nostalgia kopitiam lama.
Kesemua tempat itu bukan sahaja menyediakan pilihan yang pelbagai, malah memberi peluang kepada pembeli untuk memiliki barang mempunyai nilai sejarah dan estetika tersendiri.
Jadi, jika anda ingin menjadikan rumah lebih bermakna dengan sentuhan antik dan vintaj, jangan lepaskan peluang untuk meneroka lokasi-lokasi ini.
Membeli dekorasi antik dan perabot vintaj bukan sekadar soal gaya, tetapi juga cara untuk menghargai warisan serta cerita yang dibawa oleh setiap barang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram