Projek mahligai bermula cabaran agak besar, beza cita rasa antara Bonda Rozita, pereka ID, hasilnya wow!


  • Hias
  • Jumaat, 20 Jun 2025

Kediaman Bonda Rozita di Batang Kali membawa inspirasi kepada dunia reka bentuk tempatan bahawa tradisional, moden serta alam semula jadi boleh disatukan. — Instagram/Ident_3

TOKOH usahawan wanita terkenal dalam dunia kecantikan dan kesihatan tradisional, Bonda Rozita, kini memiliki sebuah kediaman baharu di Batang Kali, Selangor yang bukan hanya menakjubkan dari segi visual, tetapi kaya dengan simbolik serta cita rasa seni mendalam.

Rumah itu berdiri megah sebagai lambang pencapaian serta keindahan, menggabungkan elemen klasik Inggeris, maksimalis berlapis dan kepekaan moden kontemporari dalam satu naratif reka bentuk yang padu.

Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan syarikat reka bentuk dalaman IDent_3, Nik Ida Juliana, projek kediaman itu bermula dengan cabaran yang agak besar.

BACA LAGI: Aspek ergonomik penting sewaktu menyusun perabot, posisi televisyen sebaiknya selaras dengan postur badan

BACA LAGI: Sesi melukis 'still life' diiringi persembahan muzik, galak penyertaan anak muda dekati seni kontemporari

Ini selepas perbezaan cita rasa antara dirinya yang cenderung kepada gaya moden minimalis manakala Bonda Rozita pula meminati maksimalisme iaitu gaya sarat elemen dan warna.

Namun, melalui komunikasi jujur dan terbuka, kolaborasi mereka menghasilkan sebuah karya seni bina luar biasa, mempertemukan dua dunia dengan begitu harmoni.

Ruang ini menggambarkan interpretasi berani terhadap alam semula jadi. — Instagram/Ident_3

Seni dinding, tekstur mewah

Dalam salah satu ruang utama, perhatian terus tertumpu kepada dinding mural tiga dimensi bertekstur daun tropika yang terpahat megah di atas latar warna tanah.

Dikelilingi bentuk arch klasik dengan kemasan marmar, ruang itu menggambarkan interpretasi berani terhadap alam semula jadi.

Ia bagai satu simbolik ketenangan dalam suasana mewah.

Pilihan perabot dalam nada neutral, seperti sofa melengkung warna krim dan meja kopi berkilauan emas, membangkitkan rasa elegan tanpa menenggelamkan keunikan seni dinding.

Lampu gantung moden berstruktur linear dengan mentol bulat putih mencipta irama visual yang menyerlahkan ketinggian ruang. — Instagram/Ident_3

Reka bentuk siling pelbagai bentuk, nuansa mewah

Bahagian dapur pula menampilkan reka bentuk siling tinggi berkuda yang dramatik, mencerminkan ruang lapang dan megah.

Lampu gantung moden berstruktur linear dengan mentol bulat putih mencipta irama visual yang menyerlahkan ketinggian ruang.

Material marmar putih bersalur kelabu mendominasi dapur dan pulau tengah, diserlahkan pula dengan panel berukir motif emas yang memberi sentuhan seni halus.

Pintu gelangsar besar membingkai pemandangan luar dan menghubungkan dapur dengan teres luaran sekali gus memanjangkan rasa lapang serta membenarkan cahaya semula jadi masuk sepenuhnya.

Tumbuhan hijau tropika, batuan semula jadi dan dinding bertekstur menjadikan ruang itu bukan sekadar tempat mandi, tetapi sebuah pengalaman terapeutik.

Bilik mandi jiwa tropika

Salah satu ruang lain paling memukau ialah bilik mandi yang membawa elemen landskap luar ke dalam.

Tumbuhan hijau tropika, batuan semula jadi dan dinding bertekstur menjadikan ruang itu bukan sekadar tempat mandi, tetapi sebuah pengalaman terapeutik.

Bukaan besar tanpa halangan menghadap ke perbukitan Batang Kali, menyatu sepenuhnya dengan alam sekeliling dan membangkitkan suasana seolah-olah berada di resort mewah berkonsepkan spa hutan.

Kediaman itu bukan sahaja berfungsi sebagai tempat tinggal tetapi juga penginapan eksklusif yang menawarkan suasana damai jauh dari hiruk-pikuk kota.

Projek itu menjadi bukti bahawa perbezaan cita rasa tidak semestinya menjadi penghalang, sebaliknya mampu menghasilkan ruang yang luar biasa apabila terdapat keterbukaan, persefahaman dan keberanian mencuba.

Kediaman Bonda Rozita di Batang Kali bukan sahaja mencerminkan personaliti beliau yang berani dan berjiwa seni, malah membawa inspirasi kepada dunia reka bentuk tempatan bahawa tradisional, moden serta alam semula jadi boleh disatukan dalam harmoni menakjubkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram