
PERKAHWINAN adalah satu detik yang dinanti-nantikan oleh ramai pasangan muda.
Namun, di sebalik kemeriahan majlis dan sambutan, terselit cabaran besar sering diabaikan iaitu pengurusan kewangan yang bijak.
Seorang pakar kewangan terkenal, Dr. Adam Zubir, mengingatkan kita bahawa memulakan kehidupan berumah tangga dengan berhutang adalah kesilapan yang boleh membebankan bertahun-tahun.
BACA LAGI: Lelaki ganggu bekas kekasih selama setahun, buat pesanan palsu selepas tolak lamaran berkahwin
"Jangan mulakan alam perkahwinan anda dengan cara yang salah, iaitu dengan berhutang," tegas Dr. Adam.
Beliau menegaskan bahawa kenduri kahwin hanyalah sehari, tetapi kehidupan selepas itu berpanjangan.
"Kalau anda dah buat kesilapan sebelum kahwin lagi, anda akan menanggungnya bertahun-tahun," tambahnya.
Bagi Dr. Adam, kunci utama adalah menetapkan matlamat kewangan yang realistik.
"Janganlah berbelanja lebih daripada satu tahun gaji anda untuk majlis perkahwinan," katanya.
Contohnya, jika gaji bulanan RM3,000, maka kos perkahwinan sebaiknya tidak melebihi RM36,000.
Ini bukan sahaja membantu mengelakkan hutang, malah memudahkan pemulihan kewangan selepas perkahwinan.
Dalam dunia serba pantas dan penuh dengan pengaruh media sosial, ramai terjebak dengan gaya perkahwinan mewah yang tidak mampu ditanggung.
Dr. Adam berkongsi pengalamannya sendiri yang hanya membelanjakan kurang RM5,000 ketika berkahwin, sambil menasihatkan agar tidak terikut-ikut dengan gaya hidup selebriti.
Selain itu, beliau menekankan pentingnya perancangan dan tindakan.
"Anda kena cari cara tambah pendapatan, jangan hanya bergantung pada gaji," katanya.
Peluang seperti kerja sambilan, pemasaran affiliate atau menjual produk digital boleh membantu pasangan muda mengumpul wang dengan lebih cepat.
Pelaburan juga menjadi aspek penting dalam strategi Dr. Adam.
Beliau menggalakkan pelaburan berisiko rendah seperti ASB dan Tabung Haji, serta menyimpan sebahagian wang dalam emas sebagai simpanan jangka panjang yang boleh dijadikan hantaran perkahwinan.
"Emas ini boleh naik turun, tapi ia tetap aset yang bernilai," ujarnya.
Pesan Dr. Adam jelas dan penuh makna: "Kenduri kahwin hanya sehari, tapi kehidupan selepas itu panjang. Mulakan dengan langkah yang betul supaya anda boleh bina rumah tangga yang bahagia dan kukuh tanpa beban hutang."
Bagi pasangan muda yang sedang merancang hari bahagia, nasihat itu bukan sekadar panduan kewangan, tetapi juga satu peringatan agar mengutamakan kestabilan dan kebahagiaan jangka panjang.
Seperti kata Dr. Adam, "Kasih sayang bukan hanya pelukan, tapi juga perlindungan, termasuk perlindungan kewangan."
Dengan perancangan bijak dan tindakan konsisten, impian memiliki perkahwinan indah tanpa tekanan hutang bukan lagi mustahil, malah mampu menjadi realiti yang membahagiakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram