Lelaki ganggu bekas kekasih selama setahun, buat pesanan palsu selepas tolak lamaran berkahwin


  • Cinta
  • Jumaat, 20 Jun 2025

Penipu tersebut turut menukar nombor rumah untuk mengelirukan penghantar makanan.

SEORANG lelaki di Kuching, Sarawak telah menjadikan sebuah rumah sebagai tempat melepaskan dendam selepas lamaran perkahwinannya ditolak oleh bekas teman wanitanya.

Menggunakan pelbagai akaun serta nombor telefon palsu, lelaki tersebut secara berterusan membuat pesanan makanan dan perkhidmatan e-hailing secara tunai semasa penghantaran (cash-on-delivery) ke rumah keluarga bekas kekasihnya.

Aktiviti itu berlaku dari awal pagi hingga lewat malam dan berlarutan hampir setahun, menyebabkan ramai pemandu penghantaran serta pemandu e-hailing terperangkap dalam tindakan gangguan yang tidak berkesudahan.

BACA LAGI: Bayi 3 bulan meninggal dunia, ibu bapa mesti sentiasa waspada kerana 96 peratus kes SIDS berlaku sewaktu tidur

BACA LAGI: Rumah subsidi saiz mini kerajaan Indonesia dikritik, didakwa tak sesuai diduduki

Pemandu penghantaran yang menjadi mangsa mula menyedari bahawa pesanan tersebut adalah penipuan dan memberi amaran kepada rakan-rakan mereka agar tidak menerima pesanan ke alamat tersebut.

Rumah yang menjadi sasaran itu kini dipenuhi dengan papan tanda amaran seperti 'Sila Jangan Hon' dan 'Pesanan Berniat Jahat' bagi mengurangkan kekeliruan serta menghalang penghantar daripada terus menjadi mangsa.

Penipu tersebut turut menukar nombor rumah untuk mengelirukan penghantar makanan.

Selain itu, dia juga menyasarkan pemandu perkhidmatan e-hailing.

Kisah itu bermula daripada penolakan romantik yang berubah menjadi satu gangguan sehingga  melibatkan ramai pihak dan memberi kesan negatif kepada komuniti sekitar.

Penduduk kejiranan menjadi mangsa dalam dendam tanpa kesudahan itu dengan gangguan yang berterusan menjejaskan ketenteraman hidup mereka.

Kejadian itu membuka mata ramai tentang sisi gelap perkhidmatan berasaskan aplikasi dan bagaimana seseorang individu boleh menyusahkan ramai pihak hanya kerana dendam peribadi.

Situasi itu juga mengingatkan semua pemandu penghantaran serta pemandu e-hailing agar sentiasa berhati-hati dan peka terhadap pesanan yang mencurigakan.

Sekiranya menerima pesanan yang diragui, mereka dinasihatkan supaya melaporkan kepada pihak berkuasa serta platform berkenaan demi keselamatan dan kesejahteraan bersama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram