Bukan hanya sejarah megah, bekas bek Tok Gajah sebak Stadium Darul Makmur ‘tak dibuka’ semula


  • Podium
  • Sabtu, 21 Jun 2025

Skuad Tok Gajah tidak akan beraksi dalam Liga Super musim depan meskipun memperolehi lesen kebangsaan. — Facebook/Sri Pahang FC

LEGASI bola sepak Pahang dalam landskap tempatan akhirnya dinoktahkan apabila kelab tersebut tidak lagi bersaing dalam mana-mana kejohanan musim depan meskipun menerima lesen kebangsaan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Berita tersebut amat menyedihkan peminat Tok Gajah memandangkan pasukan Pantai Timur itu memiliki sejarah mengagumkan di pentas domestik selain pernah diwakili pemain tempatan dan import ternama.

Ketiadaan kelab terbabit turut menyedihkan bekas pemainnya, Afif Amiruddin yang pernah menyarung jersi Pahang sepanjang kariernya dengan menganggap pasukan itu meninggalkan memori mendalam buatnya.

BACA LAGI: Keputusan Sri Pahang tarik diri persediaan untuk bangkit kembali — Jamal Nasir

BACA LAGI: MFL umum 13 kelab sah bertanding Liga Super, Sri Pahang ‘tercicir’

Afif (kanan) sememangnya sedih akan berita mengenai pengunduran skuad Tok Gajah musim depan. Facebook/Pahang FA

Selain berpandangan kelab itu memiliki legasi tersendiri, bekas pemain pertahanan itu sebak mendengar pengunduran skuad Tok Gajah kerana mereka tidak berpeluang merasmikan gelanggang keramat yang baru sahaja siap diubah suai.

"Saya masih berhubung dengan pemain dan jurulatih sebelum ini dan sememangnya sudah mendengari ura-ura mereka akan menarik diri walaupun MFL beri lesen kebangsaan, saya sudah lama sedih akan perkhabaran itu.

"Mereka adalah kelab besar dan ada sejarah dan satu lagi perkara ralat adalah kerana Stadium Darul Makmur baru sahaja siap ditambah baik. Jadi, saya rindu untuk melihat penonton dan kumpulan ultras yang pasti meriah, tetapi hajat itu tidak kesampaian," katanya kepada Majoriti.

Musim lalu, skuad Tok Gajah terpaksa berpindah ke Stadium MP Temerloh, Pahang memandangkan venue rasmi pasukan itu diubah suai dengan penukaran rumput merupakan agenda utama pihak pengurusan.

Tindakan tersebut pada awalnya memberi bayangan Sri Pahang FC akan terus bertanding, lebih-lebih lagi selepas stadium tersebut mencipta sejarah apabila padang rumputnya diiktiraf FIFA sebagai padang rumput semula jadi pertama dalam negara yang menerima pensijilan.

Stadium Darul Makmur yang berwajah baharu sepatutnya menjadi medan kebangkitan skuad Tok Gajah. Facebook/PSDM

Bagaimanapun, disebabkan pemilik terdahulunya, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah memilih untuk mengundur diri, kelab itu akan 'terkubur' dari peta arena bola sepak negara untuk tempoh yang belum diketahui.

Dalam pada itu, Afif yang beraksi buat skuad Tok Gajah selama tiga musim bermula 2017 hanya mampu mendoakan yang terbaik buat rakan-rakannya dalam terus menempuh arus perdana bola sepak tempatan.

"Setiap pasukan pernah saya wakili, saya akan terus ikuti perkembangan dengan hubungi rakan-rakan, ucapkan selamat maju jaya dan beri kata semangat apabila mereka tewas. Jadi, saya tahu terutamanya Pahang yang merupakan kelab terakhir sebelum saya bersara.

"Untuk kawan-kawan saya, saya hanya boleh harapkan yang terbaik kerana bola sepak negara sekarang tidak stabil. Selain itu, pemain lokal, terutamanya yang berumur berdepan cabaran kerana kelab hanya berminat dengan bintang muda," katanya lagi.

Pengunduran skuad Tok Gajah menyaksikan hanya 13 pasukan akan bersaing dalam Liga Super 2025/26 seperti mana diumumkan MFL dengan jumlah terbabit pasti akan menyaksikan sukan itu kian suram. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram