
KEPUTUSAN menceburi dunia kejurulatihan merupakan pilihan utama buat pemain yang sudah menamatkan karier di atas padang memandangkan bidang tersebut cukup dekat dengan diri mereka.
Manakan tidak, selepas bertahun-tahun menerima tunjuk ajar pengendali masing-masing, ilmu diterima itu sudah tentu akan dicurahkan kepada generasi baharu demi melahirkan pelapis lebih baik.
Antara yang mengambil langkah sedemikian ialah bekas pertahanan negara, Afif Amiruddin yang membuka akademi sendiri memfokuskan pembangunan akar umbi dengan ia jarang diberi perhatian dalam negara.
BACA LAGI: [VIDEO] Kelibat bekas import Selangor FC main dengan pasukan 'bapa-bapa' ubat kerinduan ramai
BACA LAGI: Kesetiaan bukan ukuran, Ronaldinho antara import pernah sertai lebih 3 kelab Liga M
Afif (putih) bersama pelajar yang mengikuti akademi dibangunkannya. — Facebook/Afif Amiruddin
Menariknya, kelas disediakannya memberi tumpuan terhadap unsur fizikal dan kecergasan berbanding kebolehan teknikal dengan pendedahan sedemikian amat penting bagi melahirkan pemain berdaya saing.
"Dahulu, saya bermula dengan hanya 50 pelajar, tetapi kali ini, ia sudah berkembang kepada lebih 200 individu, termasuk pemain dalam kategori semi veteran," katanya kepada Majoriti.
Afif yang pernah beraksi buat kelab Liga Super seperti Pahang dan PDRM sememangnya cukup bersemangat dalam membangunkan akademi miliknya itu meskipun pada awalnya tidak terfikir untuk memilih haluan tersebut selepas menamatkan karier.
Bagaimanapun, dia yang diminta menjadi jurulatih kecergasan bagi Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Polis Negara (KPN) membuatkannya tertarik untuk terus kekal dalam dunia tersebut.
Hasil daripada kesungguhan dicurahkan menyaksikan kelas dibangunkan di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur (KL) hampir memasuki tahun ketiga dengan ratusan individu sudah mengikutinya.
Afif pernah beraksi buat skuad Tok Gajah dan beberapa kelab lain sepanjang kariernya. — Facebook/Pahang FA
"Bagi golongan dewasa, pelan latihannya berbeza dengan kanak-kanak. Saya jenis yang menerima anak muda daripada pelbagai latar belakang. Jadi, cabaran saya adalah mereka yang datang tidak mempunyai asas.
"Jadi, saya perlu segerakan peningkatan kerana ada yang cepat, ada yang perlahan. Saya juga ingin tekankan bahawa akademi saya menekankan kecergasan berbanding teknik," katanya.
Selain turut memberi bimbingan dari segi kecergasan buat pemain muda, Afif yang kini berusia 41 tahun turut melatih nama-nama besar seperti bekas rakan sepasukannya, Francis Forkey Doe.
Tunjuk ajar diberikan itu dapat disaksikan daripada perkongsian di media sosial dengan bekas penyerang Pahang dan Kelantan berkenaan jelas sukar kekal dalam pelan disediakan baginya.
"Saya dan dia masih mempunyai hubungan baik, masih berhubung dan bertemu kerana dia berada di sini dan tidak pulang ke Liberia. Jadi, dia meminta saya untuk memberi tunjuk ajar.
"Bantuan itu bukan sahaja untuk aksi TRW Treble 12 menentang Ex Selangor nanti kerana dia ada katakan sudah menerima tawaran, namun tidak dikongsikan secara mendalam," katanya lagi.
Pemenang Anugerah Kasut Emas 2012 itu dilaporkan akan terlibat dalam satu aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan antara kedua-dua pasukan berkenaan.
Usaha ditunjukkan dalam memberikan aksi terbaik dapat dilihat apabila Forkey Doe menyertai kelas peribadi disediakan Afif, namun kelihatan bergelut dalam beberapa sesi.
Bagaimanapun, menurut jurulatih kecergasan itu, bekas rakan sepasukannya itu mula mendapat kecergasan pada kelas ketiga atau keempat kerana dapat mengikuti pelan berbanding pada awal penglibatannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram