Kesetiaan bukan ukuran, Ronaldinho antara import pernah sertai lebih 3 kelab Liga M


  • Podium
  • Isnin, 24 Mac 2025

Patrick Ronaldinho (dua dari kiri) dipinjamkan ke Selangor FC pada 2016 untuk memperkuatkan pasukan. — Facebook/TVS

KESETIAAN dalam bola sepak sering kali menjadi tanda tanya apabila pemain kerap bertukar pasukan dengan ia berlaku di setiap liga di dunia ini, termasuk saingan Liga Malaysia (Liga M).

Dalam kalangan pemain import, ada yang dikenali sebagai ‘kaki lompat’ kerana sering berpindah dari satu kelab ke kelab lain untuk tempoh singkat hingga membuatkan kelab sukar untuk mengekalkan tonggak berkualiti dalam jangka masa panjang.

Jika diperhatikan, perpindahan itu berlaku atas pelbagai faktor, termasuk tawaran gaji lebih tinggi, peluang bermain secara tetap atau ketidakserasian dengan sistem kejurulatihan pasukan terdahulu.

BACA LAGI: Ikut trend, tarian 'wadidaw' antara gaya keraian 3 bintang Liga M jadi sebutan

BACA LAGI: Kehadiran pasukan jemputan di Liga M buka peluang pemain lokal tarik minat kelab luar

Ada juga kelab yang sanggup menawarkan gaji lumayan untuk mendapatkan pemain yang dianggap sebagai ‘game changer’, namun tidak semua pelaburan ini membuahkan hasil. Sebaliknya, ada pemain yang terus berpindah walaupun baru semusim bersama satu pasukan.

Dalam dunia bola sepak moden, perpindahan pemain adalah lumrah, tetapi kekerapan pemain import bertukar pasukan dalam Liga Malaysia memberi gambaran bahawa kesetiaan bukan lagi keutamaan.

Sebaliknya, mereka lebih cenderung memilih pasukan yang dapat menawarkan peluang terbaik, sama ada dari segi kewangan mahupun prospek karier. Kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain import yang menyertai lebih 3 kelab Liga M.

1) Kpah Sherman

Penyerang import Liberia, Kpah Sherman menjadi antara pemain yang pernah beraksi dengan beberapa kelab dalam saingan Liga M seperti Petaling Jaya City (2017-2018) PKNS FC (2019), Kedah FA (2020-2022), Terengganu FC (2022) dan Sri Pahang FC (2023-2025).

Sherman mula mencuri perhatian ketika bersama Petaling Jaya dan PKNS FC dengan ketajamannya di hadapan gawang lawan. Bersama PKNS, Kpah berhasil meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak musim 2019 dengan 14 gol.

Meskipun sering bertukar kelab, keupayaan Sherman sebagai penyerang prolifik tidak dapat disangkal. Dengan rekod jaringan yang konsisten, dia terus menjadi pilihan utama di bahagian serangan bagi setiap pasukan yang diwakilinya.

Selain kemahiran menjaringkan gol, pengalamannya beraksi dalam pelbagai kelab turut memberikan kelebihan kepada rakan sepasukan, khususnya pemain tempatan, dalam memahami taktikal permainan.

Selama dua musim bersama Sri Pahang, pemain berusia 33 tahun itu mencetak 25 gol dan 10 bantuan jaringan untuk membantu Tok Gajah. Kpah juga mencipta kenangan manis berhasil membantu Tok Gajah mara ke final Piala Malaysia selepas 11 tahun.

2) Francis Forkey Doe

Francis Forkey Doe yang beraksi di posisi penyerang juga pernah memeriahkan saingan domestik dengan menyertai Terengganu (2012), Selangor FC (2013, 2017), Kelantan FC (2014), Negeri Sembilan FC (2015), Felda United (2016) dan Pahang pada musim 2018.

Dengan rekod panjang bersama enam kelab berbeza, baik dalam saingan Liga Super mahupun Liga Perdana, penyerang dari Liberia tersebut menjadi salah satu contoh pemain import yang banyak menyumbang kepada perkembangan Liga M.

Ketajaman penyudah dan pengalamannya dalam kancah domestik menjadikannya aset bernilai bagi mana-mana pasukan yang memerlukan penyerang berkaliber. Bagaimanapun, kecederaan dan faktor usia sedikit sebanyak menjejaskan prestasi pada penghujung kariernya di Liga M.

Dua tahun selepas dilepasan Pahang akibat mengalami kecederaan, Francis Forkey pernah meluahkan hasrat untuk terus beraksi di Malaysia dan bersedia sekiranya ada pasukan yang mahu mengambil khidmatnya.

Pemain yang kini berusia 39 tahun itu pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Kuching FA pada 2020 dengan Francis Forkey turut terlibat dalam beberapa siri perlawanan persahabatan. Namun, tiada sebarang urusan perpindahan tidak berhasil.

3) Patrick Ronaldinho Wleh

Sime Darby (2011-2013), PKNS FC (2013-2015, 2017), Selangor FC (2016) dan PDRM FC pada musim 2019 hingga 2021 menjadi empat pasukan yang pernah disertai pemain import Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh.

Sepanjang tempoh kelab paling lama dia berkhidmat iaitu PKNS FC, Patrick Ronaldinho tampil dalam 75 perlawanan dan menjaringkan 45 jaringan gol, menjadikannya antara penyerang konsisten di Liga Malaysia.

Pada tahun 2016, ketika masih mempunyai kontrak bersama PKNS, Patrick Ronaldinho dipinjamkan ke Selangor FC untuk memperkuatkan pasukan. Bersama skuad Gergasi Merah, dia menyumbang sembilan gol dalam 19 penampilan sepanjang musim itu.

Kehebatannya di atas padang tidak hanya diiktiraf di peringkat kelab, malah Patrick Ronaldinho turut diberi penghormatan untuk beraksi bersama skuad Malaysia dalam satu perlawanan persahabatan bersejarah.

Momen paling manis dalam kariernya di Malaysia pastinya ketika Patrick Ronaldinho dipilih untuk menyarung jersi Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan menentang kelab gergasi England, Liverpool, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Julai 2015.

Dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 1-1, Ronaldinho menjadi wira apabila menjaringkan gol pembukaan untuk Malaysia pada minit ke-13. Jaringan itu bukan sahaja memberi kenangan manis buat dirinya, malah turut dikenang oleh peminat bola sepak tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram