
BERBAKI dua bulan lagi sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026, semua pasukan sibuk melakukan persiapan dengan melakukan rombakan pasukan dengan melepaskan beberapa pemain bagi menggantikan tonggak baharu.
The Rhinos termasuk pasukan yang sedang melakukan persiapan dengan perkembangan terbaharu menyaksikan Sabah FC mengumumkan senarai 13 pemain yang tidak berada dalam perancangan kelab berkenaan menjelang musim baharu.
Senarai 13 pemain ini diumumkan Sabah di platform rasmi mereka. Antara yang sah tidak bersama pasukan itu ialah Park Tae-su, Saddil Ramdani, Ko Kwang-min, Telmo Castanheira dan Haris Stamboulidis.
BACA LAGI: Kombinasi import-lokal, Sabah FC mula tunjuk taring perkenal muka baharu
BACA LAGI: Asyik kata nanti jumpa, Park Tae-su nasihat Sabah FC tolonglah ada 'common sense'
Selain lima tonggak import itu, kelab berpangkalan di Borneo itu turut memilih tidak mengekalkan bekas pemain kebangsaan iaitu Irfan Fazail, Hanafie Tokyo, Ummareng Bacok dan Ramzi Mustakim.
Bukan itu sahaja, pemain muda seperti Nureizkhan Isa, Hamran Peter, Danial Haqim dan Sahrizan Saidin juga tidak dikekalkan untuk musim hadapan.
Sehubungan dengan kehilangan 13 pemain itu, Sabah juga sudah menemui pengganti mereka yang terdiri daripada tiga pemain import iaitu Dane Ingham, Dean Pelekanos dan penyerang, Ajdin Mugajic.
Kelab berpangkalan di Borneo tanah air itu juga memanggil semula anak jati mereka iaitu pertahanan tengah, Badrul Affendy dan Maxsius Musa bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan.
Keputusan memanggil semula dua pemain itu digemari penyokong yang seronok melihat anak jati Sabah diberi peluang bermain untuk negeri kelahiran. Tindakan itu membuatkan penyokong ingin melihat tiga lagi anak kelahiran negeri Sabah untuk bermain bersama The Rhinos.
1) Junior Eldstal
Junior (kanan) semakin tidak mendapat peluang bersama JDT. — Facebook/JDT
Bek tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Junior Eldstal boleh menjadi buruan Sabah FC sekiranya pihak pengurusan mahu memfokuskan anak jati membela skuad Sang Badak pada saingan Liga M musim baharu nanti.
Pemain kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu tidak berada dalam senarai 11 pemain dilepaskan Harimau Selatan, namun pihak pengurusan The Rhinos boleh berbincang untuk mendapatkan khidmatnya secara pinjaman.
Dengan Junior juga semakin tidak mendapat tempat dalam kem JDT dek lambakan pertahanan berkualiti, pasti pihak pengurusan JDT terbuka untuk meminjamkan khidmat pemain berusia 33 tahun berkenaan.
Musim lalu, bek berketinggian 1.91 meter berkenaan hanya mencatat 142 minit permainan dengan Junior hanya diberi peluang beraksi dalam dua perlawanan domestik sahaja. Minit permainan yang tidak banyak boleh merosakkan potensi Junior.
Oleh itu, Sabah boleh membantu memperbaiki potensi Junior dan pada masa sama, The Rhinos juga berpeluang menggunakan khidmat pemain berkenaan untuk memperkukuhkan jentera belakang bersama Badrul.
2) Shahrel Fikri
Shahrel Fikri (kiri) antara pemain penting PDRM FC pada musim lepas. — Facebook/PDRMFC
Penyerang tempatan, Shahrel Fikri Md Fauzi juga sesuai menjadi sasaran The Rhinos musim depan selepas pemain berkenaan mempamerkan aksi konsisten dalam membantu bahagian serangan PDRM FC pada musim lepas.
Bersama skuad Sang Saka Biru untuk kempen 2024/2025, Shahrel Fikri mendapat peluang untuk tampil dalam 25 perlawanan domestik dan berhasil merekodkan empat gol dan dua bantuan jaringan.
Pemain yang juga mampu beraksi sebagai penyerang sayap kiri dan kanan itu merupakan anak jati Sabah berikutan Shahrel Fikri dilahirkan di Tawau sebelum berhijrah ke Manjung, Perak dan akhirnya mencipta nama bersama The Bos Gaurus.
Sekiranya pihak pengurusan Sabah berminat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 30 tahun itu, mereka perlu bertindak pantas susulan Melaka FC juga dilaporkan berminat menandatangani Shahrel Fikri.
Pemain berpengalaman itu dikenali dengan kebolehan menjaringkan gol yang konsisten serta keupayaan mencipta ruang buat rakan sepasukan, sekali gus menjadikan serangan The Rhinos lebih berbahaya dan dinamik.
3) Azzizan Nordin
Azzizan pernah beraksi untuk Sabah sebelum ini. — Facebook/SabahFC
Skuad Sang Badak boleh mempertimbangkan untuk merekrut anak jati Bongawan, Sabah iaitu Azzizan Nordin bagi memperkuatkan jentera tengah pasukan terutama untuk posisi tengah bertahan.
Langkah itu diambil sebagai usaha untuk memperbaiki prestasi dan menambah ketahanan di kawasan tengah pasukan menjelang musim akan datang. Kehadiran pemain berpengalaman seperti Azzizan diharap mampu memberi impak positif kepada barisan tengah Sabah FC.
Azzizan merupakan pemain yang cukup berkaliber dengan pengalaman luas dalam saingan Liga Super Malaysia dengan kali terakhir beliau beraksi di liga utama negara adalah pada tahun 2022 ketika menyarung jersi Penang FC.
Sekiranya Azzizan, memandangkan pasukannya memerlukan pemain tengah bertahan yang stabil dan cekap mengawal tempo permainan. Selain itu, Azzizan boleh membantu menguatkan benteng tengah serta mengurangkan tekanan kepada barisan pertahanan.
Pemain berusia 30 tahun tersebut juga bukan orang baharu dalam The Rhinos apabila dia pernah menabur bakti selama enam musim dari 2016 hingga 2021 bersama negeri kelahirannya itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram