
SABAH FC memulakan persiapan kempen 2025/2026 mereka dengan mengumumkan senarai 13 pemain yang tidak berada dalam perancangan kelab berkenaan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula Ogos nanti.
Senarai 13 pemain ini diumumkan Sabah di platform rasmi mereka. Antara yang sah tidak bersama pasukan itu ialah Park Tae-su, Saddil Ramdani, Ko Kwang-min, Telmo Castanheira dan Haris Stamboulidis.
Selain lima tonggak import itu, kelab berpangkalan di Borneo itu turut memilih tidak mengekalkan bekas pemain kebangsaan iaitu Irfan Fazail, Hanafie Tokyo, Ummareng Bacok dan Ramzi Mustakim.
BACA LAGI: [VIDEO] Maafkan gol sendiri Tae-su, ini 3 momen Pak Karim harumkan Sabah
Bukan itu sahaja, pemain muda seperti Nureizkhan Isa, Hamran Peter, Danial Haqim dan Sahrizan Saidin juga tidak dikekalkan untuk musim hadapan.
Dalam kalangan pemain berkenaan, Tae-su yang sudah bersama The Rhinos sejak 2019 rupanya menyimpan hasrat masih mahu menyarung jersi Sabah namun niatnya itu tidak selari dengan pihak pengurusan.
Menerusi luahan di Insta Story, bekas kapten Sabah itu menceritakan bahawa sejak Januari 2025 lagi pihak pengurusan mahu mengadakan perbincangan mengenai kontraknya namun ia sekadar omong kosong.
"Terima Kasih Sabah FC, walaupun pahit saya tetap telan kerana ini adalah sebahagian ataupun lumrah bola sepak. Cuma saya harap di masa depan, kelab boleh bersikap lebih professional dalam melayan kami sebagai pemain, kami juga manusia.
"Saya masuk Sabah FC dengan cara yang baik di tahun 2019, harapan saya untuk keluar dari pasukan juga dengan cara yang sama. Tapi dari bulan Januari janji untuk duduk semeja dengan saya berbincang, masa demi masa saya tunggu kerana setia dan sayang saya dengan pasukan (tidak mencari peluang/pasukan lain).
"Tidak ada jawapan cuma 'nanti kita jumpa'. Bila musim sudah tamat, saya tanya lagi masih sunyi sepi, betul lah pepatah Inggeris 'no answer, is an answer'. Tidak apa, salam maju jaya untuk kelab kesayangan saya, saya akan sentiasa menjadi penyokong nombor satu anda," katanya.
Tangkap layar luahan Tae-su pada laman Insta Story pada Jumaat.
Pemain tengah berusia 35 tahun berharap pihak pengurusan selepas ini lebih bertanggungjawab dalam menguruskan pemain, bukan sekadar bertanam tebu di bibir tapi hakikatnya hanya janji kosong yang diberi.
"Semoga di masa akan datang, kita semua dapat belajar bahawa kejujuran, ketelusan dan rasa hormat bukan hanya hiasan kata-kata dalam mesyuarat, tetapi asas penting dalam membina pasukan yang kuat.
"Atau setidak-tidaknya, kelihatan seperti tahu apa yang sedang dilakukan. Teruskan usaha. Tapi mungkin kali ini, dengan sedikit lebih tanggungjawab dan common sense," kongsinya pada hantaran berlainan.
Tae-su antara import terbaik Sabah apabila dia sudah merekodkan dalam 106 penampilan dengan menyumbang 20 gol dan sembilan bantuan jaringan bagi memastikan The Rhinos terus relevan dalam saingan Liga Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram