Tepis kecaman fans Indonesia, Dion Cools disambut meriah siap ada lagu di Cerezo Osaka


  • Podium
  • Khamis, 05 Jun 2025

Cools terus melebarkan kariernya ke Jepun apabila Cerezo Osaka yang beraksi dalam saingan liga utama Jepun berjaya mendapatkan khidmatnya. — Facebook/Cerezo Osaka

BEK skuad kebangsaan Malaysia, Dion Cools menerima sambutan luar biasa daripada penyokong Cerezo Osaka selepas menyertai kelab Jepun itu, sekaligus menepis segala kecaman yang timbul susulan perpindahannya dari Buriram United.

Dalam satu majlis perkenalan rasmi yang berlangsung sebelum perlawanan di Stadium Yodoko Sakura di Higashisumiyoshi Ward, Osaka, Jepun, pemain warisan Malaysia-Belgium itu juga disambut dengan tepukan gemuruh. 

Menerusi video yang dimuat naik kelab saat ketibaan Cools, penyokong tuan rumah turut menyanyikan lagu 'Happy Birthday' beramai-ramai sempena ulang tahunnya yang ke-29 selepas kapten Harimau Malaya itu memperkenalkan diri. 

BACA LAGI: [VIDEO] Pemilik Buriram mahu 'balas jasa' Dion Cools, sedia dengar tawaran kelab Jepun

BACA LAGI: Sebelum Dion Cools, Nazirul Naim antara 3 bintang lokal cuba bersinar di Jepun

Tindakan penyokong Cerezo Osaka itu dilihat sebagai satu isyarat jelas bahawa mereka menerima kehadiran Cools dengan tangan terbuka, sekali gus menolak tanggapan negatif sebahagian penyokong luar yang mempertikaikan langkah Cools ke Liga J1 Jepun.

"Sekelas ini sambutan tapi penyokong Indonesia kata Cools hanyalah pemain cadangan di sana (Cerezo Osaka)," kata penyokong tanah air, Saad Jamil.

"Mantap Cools, belum main tapi dah mula dihargai," kata salah seorang pengikut Harimau Malaya, Junior Dan.

"Cools akan cipta nama di Liga Jepun. Selamat maju jaya kapten," tambah penyokong bola sepak domestik, Rohaizat Saadon.

Perpindahan Cools sebelum ini mendapat reaksi bercampur dalam kalangan peminat bola sepak Asia Tenggara, khususnya penyokong Buriram United yang masih mengharapkan kelibatnya bersama pasukan Thailand itu. 

Namun, penerimaan hangat oleh penyokong Cerezo Osaka membuktikan bahawa pemain yang pernah menyarung jersi FC Midtjylland itu berada di landasan yang tepat dalam meneruskan karier profesionalnya.

Dengan rekod cemerlang sebagai tonggak pertahanan Harimau Malaya dan pengalaman beraksi di liga Eropah serta Asia Tenggara, Cools dijangka mampu menjadi aset penting buat Cerezo Osaka dalam saingan Liga J1 musim ini.

Sebelum ini, pengurusan pasukan Buriram memberikan penghormatan tinggi kepada Cools atas sumbangannya bantu kelab Thailand itu muncul juara liga, Piala FA, Piala Liga Thailand dan Piala Kelab Asia Tenggara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram