
PENYOKONG Paris Saint-Germain (PSG) mempersembahkan satu penghormatan menyentuh hati kepada mendiang anak pengurus pasukan, Luis Enrique iaitu Xana selepas kemenangan kelab itu dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) menentang Inter Milan.
Xana meninggal dunia pada usia sembilan tahun pada 2019, beberapa bulan selepas disahkan menghidap sejenis kanser tulang yang jarang berlaku. Dalam saat-saat PSG meraikan kejuaraan Eropah mereka di Munich, Xana sentiasa bermain di fikiran Enrique.
Budak perempuan itu pernah meraikan kemenangan UCL bersama Enrique ketika dia membimbing Barcelona menjuarai kejohanan berkenaan pada 2015 menerusi jaringan dari Ivan Rakitic, Luis Suarez dan Neymar Jr pada penghujung babak permainan.
BACA LAGI: [VIDEO] Kali pertama dakap trofi UCL, penyokong PSG sambut kejayaan sampai 'terbakar' Paris
BACA LAGI: [VIDEO] VAR selamatkan Liverpool 2 kali sebelum Elliott simpulkan malam derita PSG
Usai kemenangan di bumi Berlin, Jerman, Xana yang baru berusia lima tahun ketika itu kelihatan membawa bendera besar Barcelona di atas padang dan memacak bendera skuad Blaugrana bersama ayahnya.
Sebelum perlawanan akhir UCL, Enrique mendedahkan bahawa doa terdorong untuk mengulangi detik manis itu dan menanam bendera PSG di atas padang di Munich tersebut sebagai penghormatan kepada Xana.
Apabila PSG menewaskan Inter dan merangkul kejuaraan UCL buat kali pertama, para penyokong kelab itu telah menghidupkan kembali memori tersebut dengan membuat tifo memaparkan Enrique dan Xana berdiri bersama menanam bendera PSG.
“Satu penghormatan yang indah daripada penyokong, dan untuk keluarga saya. Tetapi saya tidak perlu memenangi UCL untuk mengingati anak perempuan saya. Dia sentiasa hadir bersama kami," kata Enrique selepas perlawanan.
Bukan itu sahaja, Enrique juga dilihat memakai kemeja-t hitam yang memaparkan imej yang serupa dia dan Xana sedang menanam bendera, ia difahamkan turut dijadikan lambang rasmi bagi yayasan Xana.
Enrique dan Xana ketika memacak bendera Barcelona pada final UCL 2015. — Agensi
“Saya ada satu gambar yang sangat bermakna, ketika dia menanam bendera Barcelona di atas padang. Saya mahu dapat melakukan perkara yang sama dengan bendera PSG.
“Anak perempuan saya mungkin tidak hadir secara fizikal, tetapi secara rohaninya, dia tetap bersama saya dan itu sangat penting buat saya," katanya sebelum perlawanan final berkenaan.
Kelab gergasi Ligue 1 Perancis, itu menamatkan penantian panjang untuk menjulang trofi UCL buat kali pertama dalam sejarah kelab apabila membelasah Inter Milan 5-0 dalam perlawanan akhir pada Ahad.
Perlawanan yang berlangsung di Allianz Arena, Munich, Jerman itu menyaksikan Les Parisiens meraih kemenangan besar menerusi jaringan dari Achraf Hakimi (12'), Desire Doue (20',23'), Khvicha Kvaratskhelia (73') dan Senny Mayulu pada minit ke-86 permainan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram