
FEDERICO Chiesa tidak menolak kemungkinan untuk terus kekal bersama Liverpool musim depan, meskipun masa depannya bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu masih belum diputuskan secara rasmi.
Dalam wawancara eksklusif bersama Corriere dello Sport, pemain antarabangsa Itali itu menyatakan kesediaannya untuk terus beraksi di Anfield, walaupun hanya membuat empat penampilan sebagai pemain utama sepanjang musim pertamanya.
“Musim ini telah pun berakhir. Tapi ia adalah satu pengalaman yang saya akan ulang semula. Tidak lama lagi saya akan duduk berbincang bersama kelab, ejen saya Fali Ramadani, dan keluarga untuk mencari penyelesaian terbaik. Saya langsung tidak keberatan untuk kekal di Liverpool,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Dengan hanya mengangguk, bintang Jerman beri isyarat teruja hampir sertai Liverpool
BACA LAGI: Gagal raih trofi musim ini, Al-Nassr sedia beli penyerang Liverpool ganti Cristiano Ronaldo
Namun, kenyataan terdahulu Chiesa bahawa dia tidak keberatan terhadap kemungkinan kembali ke Juventus telah mencetuskan spekulasi mengenai perpindahan semula ke Serie A.
Kelab-kelab seperti AC Milan dan Napoli turut disebut sebagai antara destinasi berpotensi mahu mendapatkan khidmat pemain berusia 27 tahun berkenaan.
Bagaimanapun, Chiesa menegaskan doa belum pernah berbincang secara langsung dengan mana-mana kelab di Itali, termasuk Napoli yang dikaitkan dengan jurulatih baharu, Antonio Conte.
“Saya tidak pernah berhubung secara langsung dengan sesiapa pun, dan saya tidak pernah dengar apa-apa daripada Antonio Conte,” katanya.
Chiesa tiba di Liverpool pada Ogos 2024. — Agensi
Chiesa turut menjelaskan beberapa faktor yang menyumbang kepada kesukarannya menyesuaikan diri di Liverpool, termasuk perpindahan lewat pada penghujung Ogos tanpa sempat menyertai latihan pramusim.
“Bayangkan, saya tiba di Liverpool pada 26 Ogos dan terus ‘dilemparkan’ ke tempat baharu dengan rakan sepasukan baharu, tanpa latihan, tanpa perlawanan persahabatan. Dan pada musim luruh, Liverpool bermain dengan intensiti luar biasa,” katanya.
Pemain itu turut mengakui persaingan sengit di bahagian serangan, terutamanya dengan kehadiran bintang seperti Mohamed Salah, Luis Diaz, dan Cody Gakpo, menyukarkan peluangnya untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Chiesa mencadangkan posisi nombor sembilan, yang pernah dimainkannya di Juventus mungkin merupakan laluan terbaik baginya di skuad The Reds.
Salah, Diaz dan Gakpo trio serangan The Reds. — Agensi
“Pada awalnya saya rasa kecewa dengan perubahan yang mendadak dan kerana terlalu jauh ketinggalan daripada kumpulan, kemudian saya alami kecederaan.
“Liverpool ketika itu berada di tahap terbaik, di separuh akhir Piala Carabao dan antara pilihan utama dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL). Bolehkah saya persoalkan keputusan Slot, yang sentiasa menghormati saya, begitu juga pihak kelab?,” jelasnya.
Tambahnya lagi, walaupun hasrat untuk bermain sentiasa ada, Chiesa memahami keadaan dan sanggup mengetepikan kepentingan peribadi demi pasukan.
Chiesa dijangka membuat keputusan muktamad dalam beberapa minggu akan datang selepas rundingan dengan pihak kelab dan keluarga selesai. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram