
PERTEMBUNGAN epik dalam aksi final Piala Malaysia 2024/25 yang berkesudahan dengan kemenangan buat Johor Darul Ta'zim (JDT) menerusi keputusan 2-1 ke atas Sri Pahang FC.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu itu menyaksikan skuad Tok Gajah terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan T Saravanan.
Jaringan tersebut terhasil selepas pemain sayap berkenaan menampan masuk bola muntah selepas penjaga gol Harimau Selatan, Syihan Hazmi menghadiahkan bola muntah ketika menampan tandukan Aleksandar Cvetkovic.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis lerai aksi panas fans Pahang, JDT di luar SNBJ sebelum final Piala Malaysia
BACA LAGI: 'Suka tak suka', Perak kena bermula dari bawah, lepaskan pemain berstatus bintang
Bagaimanapun, keriangan Sri Pahang FC tidak berkekalan selepas pemain tengah, Sergio Aguero dibuang padang selepas dilayangkan dua kad kuning yang kedua-duanya terpalit dengan kontroversi.
Kehilangan tonggak pasukan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat pasukan Pantai Timur tersebut yang bertahan untuk memastikan kelebihan satu gol berpihak kepada mereka memasuki bilik persalinan.
Namun, gol pendahuluan dimiliki skuad kendalian Fandi Ahmad akhirnya terbatal selepas Bergson da Silva mengikat kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-54.
Tendangan yang diberikan selepas bek Sri Pahang FC, Azrif Nasrulhaq melakukan kesilapan dalam kotak penalti sendiri tidak disia-siakan tonggak JDT itu untuk menewaskan Zarif Irfan Hashimuddin.
Sebuah lagi momen hangat disaksikan dalam perlawanan apabila bek tengah juara Liga Super itu, Park Jun-heong dilayangkan kad merah selepas turut dikenakan dua kad kuning.
Kehilangan pemain import Korea Selatan itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat JDT apabila Pemain Paling Bernilai (MVP) musim ini, Arif Aiman Hanapi meletakkan skuad Harimau Selatan di hadapan.
Rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti gagal ditepis Zarif Irfan yang sekali gus menyaksikan skuad Tok Gajah berputih mata untuk menjulang trofi Piala Malaysia buat kali ketiga dalam sejarah kelab.
Meskipun terdapat sebuah lagi pertelingkahan pada masa kecederaan, kedudukan 2-1 berpihak kepada JDT kekal sehingga wisel penamat ditiupkan, sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan mengekalkan kejuaraan.
Ini turut bermaksud kelab Selatan tanah air berkenaan menjadi pasukan pertama mencatatkan 'triple treble' yang pastinya sukar untuk diulang pada tahun-tahun akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram