Enggan ulangi kesilapan lama, Irfan Bakti idam bawa import ke Kelantan musim depan


  • Podium
  • Ahad, 20 Apr 2025

Irfan mahu membawa pemain import ke Kelantan musim depan jika dibenarkan.

PERKHABARAN mengenai kemunculan semula Kelantan menerusi nama Kelantan Red Warrior (KRW FC) membangkitkan keterujaan dalam kalangan penyokong kelab itu.

Bekas pemenang treble Liga Malaysia itu mahu kembali semula ke kancah bola sepak tempatan dengan mereka tidak terburu-buru ingin bermain di Liga Super.

Sebaliknya, mereka ingin menempatkan diri mereka ke Liga A1 Semi-Pro yang kini dianggap sebagai divisyen kedua bola sepak Malaysia.

BACA LAGI: Bawa Quaresma ke Alor Setar, Kedah di landasan tepat usaha pulih kewangan — Ramon Marcote

BACA LAGI: Dah lupa episod 2018, Ramon Marcote terbuka kembali ke Kedah musim depan

Melihat situasi mereka yang mahu beraksi di Liga A1 Semi-Pro, pengendali semasa, Irfan Bakti tidak menyembunyikan hasrat untuk membawa pemain import bagi memperkuatkan pasukan.

"Semestinya saya ada pelan untuk ambil pemain import, kalau A1 dibenarkan dua import saya ada hasrat untuk ambil.

"Tetapi harus tengok keadaan dulu, tak ada macam nak ambil import (kualiti) jual jam di Kuala Lumpur, itu semua tak guna (bazir wang) kalau kita ambil.

"Kita perlu cari kualiti, tak mahu ulangi kesilapan pasukan lama (TRW Kelantan) yang ambil sampai sembilan import tapi tiada kualiti," katanya kepada Majoriti.

Sebelum ini, tindakan KRW FC yang mahu menempatkan diri mereka ke Liga A1 Semi-Pro tidak disenangi oleh beberapa kelab yang beraksi dalam sistem bola sepak bawahan negara dikendalikan oleh Amateur Football League (AFL).

Memetik laporan Stadium Astro, bagi kelab Liga A2 Amatur, banyak di antara mereka yang inginkan tempat beraksi di Liga A1 pada musim seterusnya.

Bagi Presiden AAK Ultimate, Shambri Dukor, ia dilihat tidak adil sekiranya KRW terus diberikan slot ke Liga A1 sedangkan ia sudah diisi oleh dua kelab lain iaitu Guar Syed Alwi FC dan Wan Tendong Stable FC yang melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Al-Ikhsan musim ini.

Kata Shambri, sepatutnya KRW FC bermula daripada peringkat lebih bawah seperti Liga A3 Komuniti dan bukannya terus ke Liga A1.

"Agak terkejut kerana AFL punyai organisasi yang perlu bermula daripada peringkat bawah bermula A3, A2 dan baru A1, secara peribadi saya rasa perkara itu wajar dibenarkan.

"Kerana banyak pasukan bermula daripada bawah dan mengimpikan untuk beraksi di Liga A1. Kami bermula daripada bawah dan cuba mencapai keinginan itu dengan cara betul serta mengikut prosedur," jelasnya.

Bagi Shambri, seandainya Guar Syed Alwi atau Wan Tendong Stable memilih untuk menarik diri daripada menyertai Liga A1 musim depan, slot itu tidak sepatutnya diberikan kepada KRW FC.

Sebaliknya, ia perlu diberikan kepada pasukan yang sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir Piala Al-Ikhsan dek kerana merit pencapaian mereka dalam kejohanan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram