
TIDAK seperti kebanyakan pemain tempatan, terdapat beberapa individu yang meninggalkan pasukan dalam keadaan penuh luka.
Umum mengetahui bahawa apabila seorang pemain meninggalkan sesebuah kelab, perpisahan tersebut seharusnya dilakukan dengan penuh teratur dan menghargai jasa pemain berkenaan.
Namun, terdapat kes-kes dalam kancah bola sepak tanah air yang mana perpisahan antara pemain dan kelab tidak berjalan dengan baik.
BACA LAGI: Joseph Kalang Tie optimis The Cats tagih kualiti, pengalaman Ramadhan Saifullah bersama JDT
BACA LAGI: [VIDEO] Malaysia boleh ikut cara Uzbek jika layak ke Piala Asia
Baru-baru ini, pertahanan kelahiran Singapura, Safuwan Baharudin mengesahkan bahawa beliau tidak lagi diperlukan oleh Selangor FC meskipun masih memiliki kontrak setahun bersama kelab tersebut.
Safuwan menjelaskan bahawa keputusan untuk meninggalkan kelab Lembah Klang dibuat kerana tidak dimasukkan dalam senarai pemain utama oleh Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi.
Begitu juga, hal yang sama pernah terjadi kepada tiga bekas pemain Gergasi Merah yang meninggalkan pasukan dalam keadaan yang tidak bersedia.
Perpisahan mereka bukan sahaja memberi kesan kepada karier mereka, tetapi juga menimbulkan persoalan tentang bagaimana sesebuah kelab menghargai sumbangan pemain mereka.
Selain Safuwan, berikut merupakan tiga ikon Gergasi Merah yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kelab itu tanpa kerelaan peminat fanatik skuad Merah Kuning:
1. Amri Yahyah
Legenda Selangor FC, Amri Yahyah meninggalkan pasukan pada penghujung musim 2019 selepas berkhidmat selama 16 tahun dan keputusan itu pastinya mengejutkan ramai, terutamanya penyokong Gergasi Merah.
Amri yang dikenali mesra disapa Wak Am itu mengungkapkan bahawa perpisahannya ketika itu adalah kekecewaan terbesar sepanjang 20 tahun penglibatannya dalam dunia bola sepak, yang didorong oleh ketidakselarasan dengan jurulatih, mendiang B. Sathianathan.
Amri menyatakan bahawa dia tidak lagi sehaluan dengan Sathianathan, yang dianggapnya tidak menghormati legasi Selangor FC.
Beliau juga mengkritik sikap pilih kasih dalam pemilihan pemain dan keputusan taktikal yang dirasakan tidak sesuai dengan budaya pasukan.
Sebagai rekod, Amri telah membuat 437 penampilan dan menjaringkan lebih 100 gol untuk Selangor FC, menjadikannya pemain dengan penampilan terbanyak dalam sejarah kelab tersebut.
Walaupun perpisahan itu penuh emosi, Amri tetap dihormati sebagai salah seorang pemain terbaik yang pernah dimiliki oleh Selangor FC.
Salah satu kenyataan yang pastinya tidak dilupakan oleh penyokong tanah air apabila Amri mengatakan bahawa mana-mana pasukan yang bakal dia sertai selepas meninggalkan Selangor tidak mampu diatasi pasukan Lembah Klang itu.
2. Brendan Gan
Bekas kapten Selangor FC, Brendan Gan terpaksa meninggalkan pasukan tanpa kerelaan selepas kegagalan perbincangan kontrak dengan pengurusan kelab.
Hal tersebut dikongsikan oleh tonggak Harimau Malaya itu yang mengakui kegagalan melakukan perbincangan bersama pihak pengurusan untuk melanjutkan kontrak menjadi salah satu faktor terpaksa ‘angkat kaki’ daripada skuad Gergasi Merah.
Pemain berusia 37 tahun itu mengakui agak kecewa apabila terpaksa meninggalkan Selangor dengan ‘langkah kiri’ selepas membantu pasukan meraih keputusan konsisten musim 2023.
Bekas kapten Selangor FC, Brendan Gan. — Facebook/Selangorfc
Brendan Gan turut mengakui bahawa masih ingin kekal bersama pasukan kendalian bekas pengendali The Red Giants, Nidzam Jamil untuk musim 2024/25 namun terpaksa melupakan hasratnya itu.
Sebagai rekod, Brendan yang juga tonggak Harimau Malaya kini beraksi buat Kuala Lumpur City FC dan meledak empat gol dan empat hantaran bantuan.
3. Azrif Nasrulhaq
Walaupun Amri Yahyah dan Brendan Gan meninggalkan pasukan tanpa keinginan, berbeza dengan bek kanan Sri Pahang FC, Azrif Nasrulhaq yang secara sukarela meminta untuk dilepaskan oleh pengurusan Selangor.
Bekas tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu pernah meminta kebenaran Selangor untuk menyertai JDT, meskipun masih terikat kontrak. Keputusan itu mengejutkan penyokong Merah Kuning.
Azriq sebelum ini pernah menabur bakti bersama Selangor FC. — Facebook/Selangorfc
Azrif bahkan bersedia menebus kontraknya yang bernilai RM720,000 dan perpindahan ketika itu akhirnya menjadi kenyataan pada 14 Julai 2016 setelah persetujuan dicapai antara Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).
Setelah enam musim bersama JDT, Azrif menyertai Sri Pahang FC pada 2022 secara pinjaman. Pada 22 Januari 2024, beliau menandatangani kontrak secara tetap bersama Sri Pahang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram