TUGASAN berat menanti Perak FC dalam separuh akhir Piala Malaysia apabila mereka bakal berdepan juara bertahanan, Johor Darul Takzim (JDT).
Aksi pertama bakal menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) menerima kunjungan lawan di Stadium Perak, Ipoh pada Khamis sebelum perlawanan timbal balik diadakan di Johor pada 2 November.
Seperti kebiasaan, JDT sudah tentu akan diangkat sebagai pasukan pilihan di peringkat tersebut setelah meraih tiga trofi domestik musim ini.
Bagaimanapun, Perak FC pastinya tidak mahu mengibarkan bendera putih terlalu awal memandangkan mereka sebelum ini dikatakan tidak berpeluang dalam pertandingan terbabit.
Mentaliti berkenaan dikongsikan bek tengah skuad TBG, Shivan Pillay yang tidak menafikan satu ujian cukup berat menantinya serta rakan sepasukan.
Perak FC mengalami kekalahan cukup memalukan dalam dua aksi Liga Super bertemu JDT musim ini. — Bernama
"JDT adalah sebuah pasukan yang cukup hebat, tetapi ini adalah perlawanan demi piala, apa-apa pun masih boleh terjadi.
"Pemain pertahanan kami perlu bersedia untuk berdepan penyerang lawan yang cukup berbahaya, seperti Bergson da Silva dan Fernando Forestieri," katanya.
Musim ini, pertemuan kedua-dua pasukan dalam Liga Super menyaksikan skuad Harimau Selatan mudah membenam Perak FC dengan keputusan 5-0.
Jadi, ia menaikkan lagi peluang JDT untuk mara ke final Piala Malaysia bagi tahun keempat berturut-turut sekiranya mereka dapat menepis cabaran daripada skuad TBG.
Kata Shivan lagi, kualiti serta kuantiti pemain merupakan aset utama JDT dengan mereka cukup mudah untuk melakukan penggiliran dalam setiap perlawanan.
"Sasaran kami adalah untuk mengurangkan kesilapan dan jika kami dapat menghalang sebarang gol pada 20 minit awal, ia sudah tentu akan menaikkan semangat kami.
"Kami juga akan beraksi di laman sendiri, di hadapan penyokong sendiri. Jadi, elemen itu akan memberi suntikan yang lebih buat kami," katanya.
Perak FC memastikan tempat dalam separuh akhir Piala Malaysia 2023 setelah menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC.
Kejayaan untuk menyingkirkan kedua-dua pasukan pilihan tersebut sudah cukup untuk melabel Perak FC sebagai 'giant killer' dalam pertandingan berkenaan melihat kepada jurang antara mereka dalam Liga Super musim ini.
Sementara itu, JDT mara selepas menundukkan Kelantan FC di peringkat pertama sebelum menewaskan Negeri Sembilan FC di peringkat suku akhir. — The Star/T AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram