'Keputusan memalukan, jangan biar sejarah hilang begitu saja,' anak jati Perak kecewa TBG tak lagi wujud


  • Podium
  • Rabu, 28 Mei 2025

Nurri kini meneruskan legasi bola sepaknya sebagai jurulatih pasukan Prima United FC. — Instagram/nurr16zuan

PERAK FC disahkan tidak beraksi dalam saingan Liga Super musim depan selepas gagal memperoleh lesen kebangsaan daripada Badan Bebas First Instance Body (FIB) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Kegagalan tersebut mencetuskan kekecewaan mendalam dalam kalangan penyokong setia The Bos Gaurus (TBG) yang sudah tentu mahu melihat pasukan kesayangan mereka terus kekal bersaing di liga tertinggi tanah air.

Namun, keadaan kewangan pasukan yang semakin terjejas dilihat menjadi punca utama sehingga keputusan untuk menarik diri daripada saingan Liga Super terpaksa diambil.

BACA LAGI: Nama pernah dipetik ke selatan, 3 kali JDT nafi ‘kejar’ pemain berbakat termasuk Rizal Ghazali, kapten Sabah

BACA LAGI: 'Saya terima', bekas CEO Perak FC tenang balas 'serangan' kain rentang

 Nurri (kini) kini aktif membangunkan bakat-bakat muda tempatan menerusi pembentukan pasukan Bawah 14 Tahun dan Bawah 16 Tahun. Instagram/nurr16zuan

Kecewa bukan sahaja dirasai oleh penyokong, malah bekas pemain serta anak jati Perak turut terkesan dengan keputusan drastik tersebut.

Bekas tonggak Perak FC, Nurridzuan Abu Hassan meluahkan rasa dukacita selepas pasukannya disahkan tidak dapat beraksi dalam Liga Malaysia musim depan.

Perak FC menjadi salah satu daripada dua pasukan tanah air bersama Kedah Darul Aman FC, yang gagal memperoleh lesen kebangsaan daripada FIB dan MFL, sekali gus menamatkan peluang mereka beraksi dalam liga utama musim depan.

Menurut Nurridzuan, keputusan pihak pengurusan Perak FC untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia adalah satu tindakan yang tidak wajar dan memalukan.

Nurri (tengah) sebelum ini pernah menabur bakti bersama Sri Pahang, PKNS FC, Selangor dan Melaka United FC. Instagram/nurr16zuan

“Perak FC membuat keputusan yang agak memalukan apabila menarik diri daripada saingan Liga Malaysia.

"Pasukan Perak dari dulu lagi adalah pasukan unik yang mempunyai penyokong dari seluruh pelusuk negara, yang secara tidak langsung menyayangi pasukan ini dari generasi ke generasi,” katanya kepada Majoriti.

Sebagai anak jati Perak, Nurridzuan berharap pihak pengurusan terlebih dahulu mengadakan rundingan dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian sebelum membuat keputusan drastik sebegini.

Bekas tonggak Harimau Muda itu juga berharap agar Perak dapat kembali mewarnai kancah bola sepak tanah air pada masa akan datang.

"Sebagai anak jati Perak dan bekas pemain, saya berasa kecewa dengan keputusan Perak FC menarik diri dari Liga Malaysia.

"Sebelum buat keputusan drastik, sepatutnya pihak pengurusan membuat rundingan dan berbincang untuk jalan penyelesaian.

"Saya harap satu hari nanti Perak akan mewarnai Liga M dan menyimar semula dengan penuh semangat,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram