'Saya terima', bekas CEO Perak FC tenang balas 'serangan' kain rentang


  • Podium
  • Selasa, 27 Mei 2025

Segelintir penyokong dilihat menggantung kain rentang yang mengandungi mesej berunsur kecaman. — Facebook

PERAK FC sah tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan selepas gagal memperoleh lesen kebangsaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Kegagalan itu mencetuskan kekecewaan mendalam dalam kalangan penyokong setia The Bos Gaurus (TBG).

Menurut Pengerusi Badan Bebas First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab MFL, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, kegagalan Perak FC memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan dalam Peraturan Pelesenan MFL Edisi 2024-2025 (MFL CLR) menjadi punca utama lesen kebangsaan mereka ditolak. 

BACA LAGI: DPMM FC makin bernafsu besar, intai peluang sambar bek kiri Tok Gajah

BACA LAGI: Lepas sambar Fairuz Zakaria, bekas bek Penang, Kelantan kini dalam radar DPMM

Gambar kain rentang berkenaan turut dikongsikan oleh Bobie sendiri di laman Facebook miliknya. 

Susulan keputusan tersebut, ada segelintir penyokong yang mula menterjemahkan rasa kecewa mereka melalui pelbagai reaksi sama ada menerusi media sosial atau secara nyata.

Dalam salah satu hantaran yang tular menerusi laman penyokong PERAK FC FANS, tertera kain rentang yang mengandungi mesej berunsur kecaman serta desakan agar pihak pengurusan segera menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

Turut kelihatan dalam hantaran tersebut ialah helaian kertas bertulis "Perosak Bola Sepak Perak", selain memaparkan gambar beberapa individu termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin.

Gambar kain rentang berkenaan turut dikongsikan oleh Bobie sendiri atau lebih dikenali sebagai Ariesham di akaun Facebook miliknya bersama kapsyen ringkas:

"Saya terima kebangsatan ini.." tulisnya.

Kegagalan memperoleh lesen kebangsaan itu bukan sahaja menjejaskan reputasi pasukan, malah menimbulkan persoalan serius terhadap pengurusan dalaman kelab.

Penyokong kini meletakkan tekanan ke atas pihak pengurusan untuk memberikan penjelasan dan mengambil tanggungjawab atas kegagalan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram