Seorang lagi tonggak KDN bersuara, dakwa pengurusan tak telus lepas kenyataan rasmi


  • Podium
  • Isnin, 26 Mei 2025

Nasrol secara terbuka menafikan kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak KDN FC baru-baru ini. — Instagram/nasrol_amri

KRISIS dalaman Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) semakin meruncing apabila seorang lagi pemainnya, Nasrol Amri tampil mendedahkan isu tunggakan gaji dan caruman pemain demi mendapatkan lesen kebangsaan daripada First Instance Body (FIB) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Sebelum ini, bekas pemain KDN FC, Jasmir Mehat turut mendedahkan bahawa pemain-pemain masih berdepan isu tunggakan gaji, tiada caruman dibuat dan kegagalan pihak kelab menyediakan perlindungan insurans.

Dalam satu pendedahan berani menerusi akaun Instagram miliknya, Nasrol secara terbuka menafikan kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak KDN FC baru-baru ini, yang mendakwa semua tunggakan gaji dan caruman pemain telah diselesaikan sepenuhnya.

BACA LAGI: Lepas sambar Fairuz Zakaria, bekas bek Penang, Kelantan kini dalam radar DPMM

BACA LAGI: Lepaskan 22 pemain, bintang warisan antara 3 rekrut diperlukan Penang FC demi lengkapkan 'dream team'

"Pengurusan KDN FC berbohong berkenaan isu tunggakan gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta bayaran insurans setiap pemain untuk saingan Liga Malaysia 2024/25.

"Kami mengesahkan bahawa tunggakan gaji pemain lebih dari tiga bulan, tidak seperti didakwa oleh Presiden kelab. Kami minta media untuk cerita perkara sebenar sikap Presiden KDN FC kerana menipu semua pihak berkenaan isu ini," dakwanya.

Tangkap layar Insta Story Nasrol Amri.

Menurutnya lagi, tunggakan gaji pemain sebenarnya sudah melebihi tiga bulan, bukan seperti yang didakwa oleh pihak kelab.

"Untuk pengetahuan, pihak kelab berhutang dengan setiap pemain sebanyak RM500 atau RM1000 seorang pada Ogos 2024.

"Pada Oktober 2024 dan November 2024, KDN FC hanya membayar pemain dengan separuh gaji sahaja. Bagi bulan Februari 2025, Mac 2025 dan April 2025, tiada bayaran langsung dibuat oleh KDN FC kepada pemain," dakwanya.

Lebih mengejutkan, bek kanan berusia 25 tahun itu turut mendedahkan bahawa caruman KWSP dan Perkeso tidak pernah dibuat sepanjang musim, walaupun potongan gaji telah dilakukan untuk tujuan tersebut.

Malah dakwanya, tiada perlindungan insurans disediakan, menyebabkan pemain yang cedera terpaksa membayar kos perubatan sendiri.

"Pihak pengurusan KDN FC juga tidak membuat caruman KWSP dan Perkeso selama satu musim sedangkan gaji telah dipotong untuk dua caruman tersebut.

"Lebih malang, pemain bermain tanpa perlindungan insurans pada setiap perlawanan sehingga menyebabkan pemain yang cedera perlu mengeluarkan wang sendiri untuk bayaran bil. Apabila pemain membuat tuntutan bayaran kepada pihak kelab, tiada sebarang respons diberikan," dakwanya.

Dalam pendedahan tersebut, Nasrol turut mengatakan pihak KDN FC seakan-akan memanipulasi fakta demi mendapatkan lesen kelab.

"Sekali lagi, kami menafikan kenyataan media Presiden KDN FC yang nyata telah berbohong kepada semua pihak berkenaan isu ini.

"Kami yakin Presiden KDN FC mengetahui situasi sebenar tetapi demi mendapatkan perlesenan kelab dari FIB dan MFL, Presiden rela mengenepikan etika dan intergriti," dakwanya.

Terdahulu pada Ahad, Presiden KDN FC, Rozi Muhamad menjelaskan, kelab itu kini dalam proses menyelesaikan baki tunggakan untuk Februari sehingga April 2025 manakala gaji pada Mei 2024 sehingga Disember 2024 sudah diselesaikan. 

Justeru, dia menegaskan bahawa KDN FC memenuhi segala syarat dan kriteria ditetapkan First Instance Body (FIB) dan MFL, termasuklah untuk kelab menyelesaikan tunggakan gaji sehingga 31 Disember tahun lalu (mengikut syarat AFC) sebagai antara syarat lulus permohonan Lesen Kebangsaan 2025-2026 yang menyaksikan KDN diberikan Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram