Fans Harimau Kumbang restui Rafael Vitor pergi kelab Brazil berbanding ke JDT


  • Podium
  • Khamis, 12 Jun 2025

Impak ditinggalkan Vitor sepanjang lima musim beraksi di Utara tanah air amat dihargai peminat dan pihak pengurusan. — Facebook/Penang FC

BEKAS kapten Penang FC, Rafael Vitor sah kembali ke kampung halamannya dengan menyertai kelab Brazil iaitu Amazonas FC bagi membantu jentera pertahanan pasukan berkenaan untuk saingan Serie B.

Berdasarkan hantaran terbaharu Amazonas FC, bekas bek tengah Harimau Kumbang itu merupakan salah satu daripada tujuh pemain baharu pasukan yang menghuni kelompok tiga terbawah dalam saingan tersebut.

Amazonas FC bukanlah kelab asing buat pemain berusia 32 tahun itu susulan Vitor pernah menyarung jersi pasukan tersebut pada musim 2019, sebelum dia berkelana ke Penang FC pada tahun berikutnya.

BACA LAGI: Penalti minit akhir Rafael Vitor hadiahkan senyuman buat Harimau Kumbang

BACA LAGI: Rodrigo Dias turut curi tumpuan di malam penampilan ke-100 Rafael Vitor bersama Penang

"Bergelar juara bersama Amazonas FC untuk pencapaian pertama mereka dalam sejarah pada 2019, pemain pertahanan Rafael Vitor kembali bersama kelab selepas lima setengah musim beraksi dalam bola sepak Malaysia. Selamat kembali, Rafa," kata kelab dalam satu kenyataan.

Penyertaan bek tinggi lampai berkenaan ke Amazonas FC bukan hanya menggembirakan penyokong kelab itu, malah direstui pengikut Penang FC susulan tidak mahu melihat Vitor bermain dengan pesaing Liga Super.

Hal ini kerana, Vitor sebelum ini dikaitkan akan menyarung jersi Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk musim baharu nanti susulan pemain berkenaan sudah melepasi tempoh ditetapkan untuk menerima status naturalisasi.

 

 

Vitor sudah berkali-kali dikaitkan sebagai calon bek tengah baharu Harimau Malaya sebelum ini dengan tonggak Kuala Lumpur (KL) City FC, Giancarlo Gallifuoco turut berada dalam senarai pemain naturalisasi.

Ini kerana barisan pertahanan skuad kebangsaan masih perlu diperkukuhkan dengan kehadiran pemain naturalisasi yang memiliki kelebihan fizikal dapat memastikan gawang pasukan sukar dibolosi.

Khabar angin mengaitkan Vitor ke JDT perlu timbul selepas pemain itu berkali-kali meluangkan masa di Selatan tanah air untuk menyaksikan skuad Harimau Selatan berentap dalam gelanggang futsal.

Dengan Vitor sudah melengkapkan perpindahan ke Amazonas FC, kebarangkalian untuk menyaksikan dia menyarung jersi Harimau Malaya agak mustahil. Malah, skuad kebangsaan juga sudah mempunyai dua bek baharu iaitu Jon Irazabal dan Facundo Garces. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram