
PELUANG menyaksikan pasukan kegemaran yang berentap di Eropah sememangnya sukar untuk ditolak mana-mana peminat fanatik bola sepak meskipun perlu berbelanja ribuan ringgit.
Bagaimanapun, bagi seorang penggemar sukan tersebut, Nasseb Ali atau turut dikenali sebagai Referee Kampung, impian tersebut berjaya tercapai, malah ia menjadi satu momen sukar dilupakan buatnya.
Ini apabila dia berkongsi bagaimana dia diberi peluang menjadi pengadil bagi sebuah perlawanan di Stadium Old Trafford, England yang merupakan gelanggang keramat buat Manchester United.
BACA LAGI: Isu pengadil: Nasib Razlan Joffri, Fitri Miskon jelas berlawanan
BACA LAGI: 'Relaks la game friendly je pun, kau dah kenapa?', Khalid Jamlus 'sound' pengadil
Kisah mengujakan itu dikongsikannya di laman media sosial peribadinya dengan mengatakan cita-citanya tercapai meskipun tidak pernah menyangka hal sebenar mampu menjadi kenyataan.
"Salah sebuah momen terbesar dalam hidup saya, menjadi pengadil di Stadium Old Trafford adalah sesuatu yang tidak pernah dapat saya bayangkan. Terima kasih Konami dan eFootball atas peluang ini," tulisnya.
Perkongsian tersebut bukan sahaja memaparkan Nasseb menjadi pengadil, malah dia sempat menikmati momen praperlawanan ketika bersalaman dengan pemain sebelum aksi bermula.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tujuan sebenar perlawanan itu diadakan kerana tiada penyokong kelihatan dengan pihak media kelihatan berada dekat dengan kawasan padang berbanding kebiasaan.
Nasseb sememangnya cukup dikenali dalam komuniti bola sepak apabila kerap berkongsi pandangan mengenai isu pengadilan bola sepak.
Meskipun bukanlah pengadil dalam mana-mana kejohanan peringkat domestik, kehadirannya memberi pencerahan terhadap orang ramai, lebih-lebih lagi ketika berlakunya konflik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram