[VIDEO] Beri anak pengalaman sokong Man United luar Old Trafford, fans tegar sanggup belanja lebih RM60,000 terbang ke KL


  • Podium
  • Isnin, 26 Mei 2025

Andre Onana antara pemain Man United mencuri tumpuan.

DETIK yang dinantikan peminat bola sepak tanah air akhirnya tiba apabila kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, selamat mendarat di ibu negara pada Isnin, menjelang aksi Maybank Challenge Cup 2025 menentang pasukan pilihan ASEAN All Stars yang bakal berlangsung pada 28 Mei ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. 

Puluhan penyokong setia mula memenuhi pekarangan hotel penginapan pasukan, lengkap dengan jersi merah kebanggaan dan harapan untuk melihat dari dekat idola masing-masing.

Suasana bertambah meriah apabila bas rasmi kelab tiba sekitar pukul 8 malam, disambut sorakan gemuruh yang bergema di segenap ruang tetapi masih diiringi kawalan keselamatan yang ketat bagi memastikan kelancaran ketibaan skuad Red Devils.

BACA LAGI: Disebut ke kelab Manchester, Liverpool sedia 'sailang' minit akhir bintang Bayer Leverkusen

BACA LAGI: Manchester United dah jumpa pengganti Andre Onana

Walaupun Manchester United menamatkan musim 2024–25 di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris, pencapaian terburuk mereka sejak tahun 1974 namun sambutan hangat yang diterima di Malaysia membuktikan bahawa semangat kesetiaan penyokong Red Devils tidak pernah luntur.

Salah seorang penyokong Man United dari England yang sanggup hadir ke Kuala Lumpur bersama keluarganya adalah Tej Constant, 32, berkongsi kepada Majoriti pengalaman luar biasa semasa berada di Malaysia dan apa ertinya menjadi sebahagian daripada keluarga besar Manchester United.

“Kami banyak mengikuti Manchester United. Kami sering berpeluang untuk pergi ke Old Trafford tapi saya sudah beberapa kali ke sana. Jadi saya rasa ia sangat istimewa untuk dia melihat pasukan ini di luar England. Suasana sambutan di sini (Malaysia) sangat mesra keluarga, sebab itulah kami bawa dia bersama.

“Kami menikmati masa yang hebat di sini. Malaysia memang hebat. Ada begitu ramai peminat Man United. Bila pakai baju United, semua orang ingin menyapa. Ia memang pengalaman yang hebat.

"Walaupun persembahan musim bukan yang terbaik, mungkin lain kali akan lebih baik. Tapi secara keseluruhannya, ia sangat menyeronokkan dan Kuala Lumpur ialah bandar yang hebat," katanya yang sudah menghabiskan kira-kira £11,000 (RM66,000) untuk perjalanan ke Malaysia. 

Amorim ketika tiba di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Lelaki berasal dari Oxford, United Kingdom itu juga memaklumkan bahawa mereka telah berada di Malaysia selama lapan hari dan masih belum menetapkan tarikh pulang ke kampung halaman mereka.

Mengulas tentang musim sukar yang dilalui Manchester United, penyokong itu menegaskan bahawa dia akan tetap menyokong skuad The Red Devils meskipun mengalami musim terburuk mereka. 

"Ia merupakan musim yang sangat sukar. Tetapi, kami tidak berada di sini untuk kemenangan. Kami berada di sini untuk memberi sokongan.

"Kami menyokong United. Dan itulah sebabnya kami muncul di mana sahaja kita boleh pada hari yang baik atau buruk. Tidak ada apa-apa yang boleh menghentikannya," jelasnya. 

Dalam pada itu, Constant turut memiliki tiket untuk menyaksikan perlawanan antara Manchester United dan ASEAN All Star dan menegaskan bahawa hasil perlawanan bukan keutamaan.

“Mereka mungkin akan keletihan, tetapi kami tak kisah. Kami datang untuk berseronok dan melihat para pemain. Harap kami menang, tapi kalau tidak, itu pun tidak mengapa. Kami tetap gembira berada di sini untuk pengalaman ini," tambahnya. 

Sokongan tanpa syarat seperti inilah yang menjadi tulang belakang kepada kelab bersejarah seperti Manchester United. Bagi para penyokong tegar, semangat dan kesetiaan adalah lebih utama daripada keputusan di atas padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram