
PENGURUS Manchester United, Ruben Amorim akhirnya bersuara mengenai masa depan kapten pasukan, Bruno Fernandes selepas pemain itu memberi isyarat bahawa dia sedia meninggalkan kelab sekiranya pihak pengurusan mahu menjualnya.
Kenyataan pemain tengah kelahira Portugal berkenaan dibuat selepas kekalahan 1-0 Man United kepada Tottenham Hotspur dalam perlawanan akhir Liga Europa di Bilbao, Sepanyol pada Khamis lepas.
Dalam temu bual selepas perlawanan, Fernandes tidak menolak kemungkinan berpindah kelab baharu sambil menegaskan kesetiaannya kepada Man United tetap bergantung kepada kehendak pihak pengurusan.
BACA LAGI: Gagal julang trofi UEL, 200 staf Man United bakal dibuang kerja
BACA LAGI: Garnacho merajuk, mahu tinggalkan Man United sebab cuma beraksi 20 minit dalam final Europa
"Jika kelab merasakan sudah tiba masanya untuk berpisah kerana mereka mahu menjana wang atau apa-apa sahaja, maka begitulah keadaannya. Bola sepak kadangkala memang begini," ujar pemain tengah berusia 30 tahun itu.
Pemain berusia 30 tahun berkenaan turut menegaskan bahawa dia akan terus komited kepada skuad The Red Devils tetapi akur jika tiba masanya untuk berundur.
"Saya sentiasa berkata, saya akan berada di sini sehingga kelab mengatakan sudah tiba masanya untuk saya pergi. Pada hari kelab merasakan saya sudah tidak diperlukan, maka saya terima. Bola sepak memang begitu, anda tidak pernah tahu," tambahnya.
Spekulasi perpindahan Fernandes semakin hangat apabila kelab Arab Saudi, Al-Hilal dilaporkan bersedia menawarkan £100 juta (RM600 juta) untuk mendapatkan khidmatnya bagi menghadapi Piala Dunia Kelab.
Kelab gergasi Eropah seperti Bayern Munich dan Paris Saint-Germain (PSG) juga dikaitkan dengan minat terhadap Fernandes menjelang jendela perpindahan musim panas nanti.
Al-Hilal dilaporkan bersedia menawarkan £100 juta untuk mendapatkan khidmat Fernandes. — Agensi
Ditanya mengenai kenyataan Fernandes menjelang perlawanan terakhir musim Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Aston Villa, Amorim memilih untuk tidak memberikan jaminan bahawa pemain itu akan kekal di Old Trafford musim depan.
"Saya akan berbincang dengan para pemain saya, tetapi fokus saya adalah pada perlawanan terakhir. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Kami ada perancangan, kami bersedia untuk kedua-dua situasi, sama ada dengan atau tanpa Liga Juara-Juara.
"Kami ada gambaran tentang jenis skuad yang kami mahukan. Sekarang kami perlu fokus pada perlawanan, ini adalah perlawanan terakhir dan selepas itu kami ada masa untuk menangani isu-isu tersebut," katanya.
Dalam pada itu, satu lagi isu timbul membabitkan Alejandro Garnacho apabila ramai membangkitkan tanda tanya mengenai masa depannya selepas sekadar diturunkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan akhir Liga Europa.
Alejandro Garnacho:
“THE SEASON WAS CRAP, WE DIDN’T BEAT ANYONE IN THE LEAGUE, TRULY.
Until I reached the final I played every round and helped the team, AND TO PLAY 20 MINUTES TODAY… I DON’T KNOW.”
“I'll enjoy the summer and then we'll see." pic.twitter.com/dNeLFameAa
— (fan) ’(@AmorimBalll_) May 21, 2025
"Ia sukar untuk semua orang. Musim ini teruk. Dalam liga pun kami tidak mengalahkan sesiapa pun. Sehingga ke perlawanan akhir, saya bermain dalam setiap pusingan, dan hari ini hanya diberi 20 minit.
"Saya tidak tahu. Saya akan cuba menikmati musim panas dan lihat apa yang akan berlaku selepas ini," kata Garnacho.
Keadaan menjadi lebih hangat apabila abangnya, Roberto Garnacho memuat naik hantaran di Instagram yang menyindir keputusan Amorim.
"Bekerja lebih kuat daripada orang lain, membantu dalam setiap pusingan, menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan akhir terakhir, hanya untuk berada di padang selama 19 minit dan dikambinghitamkan. Wow, hahahaha," tulis abang pemain itu.
Amorim gagal mendapatkan trofi pertamanya bersama Man United. — Agensi
Kenyataan dan reaksi itu mencetuskan persoalan besar dalam kalangan penyokong mengenai kestabilan dalaman skuad United menjelang musim baharu.
Sama ada Amorim mampu mengekalkan tonggak utama seperti Fernandes dan menguruskan ketidakpuasan hati pemain muda seperti Garnacho, masih menjadi persoalan yang bakal terjawab dalam beberapa minggu akan datang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram