Kereta rempuh puluhan penyokong Liverpool ketika perarakan trofi, Mo Salah kena kecam teruk


  • Podium
  • Selasa, 27 Mei 2025

Kemalangan ngeri yang berlaku ketika perarakan trofi Liga Perdana Inggeris pada Isnin. — Agensi

MOHAMED Salah mengundang kemarahan ramai apabila memuat naik hantaran tentang kejayaan Liverpool pada Liga Perdana Inggeris di media sosialnya selepas berlakunya kemalangan tragis ketika perarakan trofi pada Isnin. 

Dalam kejadian itu, sekumpulan penyokong Liverpool yang berada di Water Street dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) hitam. 

Kejadian itu sekali gus menimbulkan rasa cemas dan panik apabila jalan dipenuhi dengan pasukan penyelamat, polis dan bomba di lokasi berkenaan.

BACA LAGI: ‘Indahnya perasaan ini’, air mata jantan ‘Lord’ Maguire tumpah, watak penting kemenangan dramatik Man United muncul semifinalis Liga Europa

BACA LAGI: Getir bertemu Lyon di Old Trafford, Man United tempang tanpa 7 tonggak

Gambar yang dimuat naik Mo Salah selepas kejadian tersebut. —  Mo Salah

Pemandu berusia 53 tahun terbabit kemudiannya ditahan selepas kejadian dan kejadian itu disahkan tiada kaitan dengan kegiatan keganasan.

Namun, lebih mengejutkan apabila melihat gambar dikongsikan oleh Mo Salah yang memaparkan dirinya sedang mencium trofi Liga Perdana Inggeris di atas padang. 

Rata-rata warga maya beranggapan bahawa hantaran tersebut tidak seharusnya dimuat naik bagi menjaga sensitiviti mangsa yang terlibat.

Namun difahamkan, hantaran itu telah dijadualkan lebih awal oleh pengendali akaun bintang kelahiran Mesir itu.

Sementara itu, Liverpool FC memaklumkan bahawa pihaknya turut bersimpati atas kejadian yang berlaku.

"Kami juga bekerjasama secara terus dengan polis berhubung insiden tersebut.

"Fikiran dan doa kami bersama mereka yang terlibat dalam kemalangan tragis ini.

"Kami akan terus menawarkan sokongan penuh kepada perkhidmatan kecemasan dan pihak berkuasa tempatan yang menangani insiden ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pihak pengurusan Liga Perdana Inggeris juga menyifatkan apa yang berlaku di Pusat Bandar Liverpool itu sebagai sesuatu yang mengerikan.

"Semua orang di Liga Perdana terkejut dengan peristiwa mengerikan di Liverpool dan fikiran kami tertuju kepada mereka yang cedera.

"Kami berhubung dengan Liverpool FC dan menawarkan sokongan penuh kami berikutan insiden serius ini," jelasnya. 

Motif kejadian masih lagi disiasat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram