Kos tinggi bukan penghalang, TSM Golf Challenge komited kekalkan yuran percuma


  • Podium
  • Isnin, 09 Jun 2025

TSM Golf Challenge 2025 kini kembali bagi edisi ke-14 dengan penyertaan 50 remaja lelaki dan 35 remaja perempuan.

WALAUPUN berdepan cabaran kewangan yang besar, penganjur kejohanan TSM Golf Challenge edisi ke-14 tetap berpegang teguh kepada komitmen untuk mengekalkan penyertaan percuma kepada semua peserta.

Pengerusi penganjur, Datuk Wan Shalihudin Wan Ibrahim berkata, pihaknya sedar kos penganjuran yang semakin meningkat menjadi cabaran utama, namun keutamaan tetap diberikan kepada kebajikan peserta.

"Antara cabaran utama penganjuran adalah dari sudut kewangan. Kami berusaha keras mendapatkan penajaan daripada syarikat korporat bagi memastikan kejohanan ini dapat dianjurkan dengan lancar.

"Kos penganjuran sangat tinggi, namun kami tetap mengekalkan konsep penyertaan percuma kepada semua peserta, termasuk makanan, minuman dan kemudahan lain," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Dua harapan golf wanita mampu sumbang pingat di Sukan SEA — Presiden MGA

BACA LAGI: TSM Golf Challenge ke-14: 85 bakat muda rebut trofi, biasiswa RM133,000

Pengerusi Penganjur, Datuk Wan Shalihudin Wan Ibrahim.

Menurut beliau, kejayaan menganjurkan kejohanan tahun ini banyak bergantung kepada sokongan penaja yang terus memberikan kepercayaan meskipun sumbangan diterima mungkin tidak besar.

“Alhamdulillah, dengan kepercayaan para penaja terhadap usaha kami, mereka sedia membantu walaupun tidak banyak. Setiap sumbangan amat bermakna,” tambahnya.

Tambah beliau, penganjuran edisi kali ini turut menjadi lebih istimewa dengan kepulangan bekas juara edisi ke-13, Mirabel Ting yang kini merupakan pemain golf amatur wanita kedua terbaik dunia.

“Mirabel pulang dari Amerika Syarikat dan akan kembali beraksi untuk mempertahankan trofi yang dimenanginya tahun lalu dalam kejohanan TSM Golf tahun lalu.

"Kepulangannya memberi suntikan semangat kepada para peserta dan menaikkan lagi prestij kejohanan,” ujar Wan Shalihudin.

Mengulas mengenai persiapan, beliau menyatakan semuanya berada pada landasan yang baik biarpun cuaca panas menjadi cabaran tambahan menjelang kejohanan yang tinggal seminggu sahaja lagi.

“Semua kelengkapan hampir siap. Kami juga memberi nasihat kepada peserta agar menjaga diri dan berwaspada dengan keadaan cuaca. Sekiranya berasa tidak sihat atau terlalu panas, kami sarankan mereka berhenti dan berehat,” katanya.

Bagi memastikan keselamatan, pihak penganjur turut menyediakan ambulans dan pasukan perubatan yang akan bersiap sedia di lokasi sepanjang kejohanan berlangsung.

Untuk rekod, TSM Golf Challenge 2025 kini kembali bagi edisi ke-14 dengan penyertaan 50 remaja lelaki dan 35 remaja perempuan.

Kejohanan berprestij itu akan berlangsung bermula 16 hingga 19 Jun 2025 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram