Tidak setuju adakan PRK, Tengku Zafrul tekankan keputusan keluar Umno pilihan peribadi


  • Massa
  • Isnin, 09 Jun 2025

Tengku Zafrul mengumumkan pengunduran diri daripada parti Umno baru-baru ini. — The Star

MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil menjelaskan beberapa perkara berkaitan keputusan beliau berundur daripada Umno dan permohonan menyertai PKR.

Beliau menafikan sebarang desas-desus mengenai penyertaannya dalam pilihan raya kecil, sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri.

Menurut Tengku Zafrul, tiada perbincangan rasmi berhubung perkara itu pernah berlaku dan ia bukan faktor dalam membuat keputusan berundur.

BACA LAGI: 'Tengok konvoi van jenazah pun hati dah sebak', ramai doakan mangsa diberi ganjaran syurga

BACA LAGI: Syarikat telco beri jaminan lindungi privasi pelanggan, tiada data peribadi diakses

 

 

Beliau juga menegaskan tidak bersetuju dengan pencetusan pilihan raya kecil tanpa keperluan mendesak kerana ia membebankan masa dan kewangan rakyat.

Tambahnya, beliau akan terus melaksanakan tugasnya sebagai Ahli Dewan Negara sehingga tamat tempoh perkhidmatan pada Disember 2025.

"Berkenaan kedudukan saya sebagai Menteri, saya menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri dan menegaskan kesediaannya untuk terus berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti tanpa mengira jawatan.

“Saya meninggalkan dunia korporat dengan niat untuk berkhidmat dan selagi khidmat saya diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang,” katanya dalam satu kenyataan rasmi yang dikongsi di media sosial pada Isnin.

Beliau juga menegaskan bahawa keputusan berundur daripada Umno adalah pilihan peribadi sepenuhnya tanpa sebarang paksaan.

Walaupun bukan keputusan mudah, Tengku Zafrul telah mempertimbangkan semua pandangan dengan mendalam.

“Dalam sebuah masyarakat demokrasi, setiap individu berhak membuat pilihan sendiri. Saya amat menghargai semua pandangan dan penerimaan terhadap keputusan ini,” ujarnya.

Tengku Zafrul turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Umno, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, seluruh akar umbi terutama Umno Bahagian Kota Raja, serta rakan-rakan yang telah menyokong beliau sepanjang tempoh bersama Umno.

Beliau menutup kenyataan dengan memohon doa agar terus istiqomah dalam perjuangan dengan semangat baharu selepas pulang dari Tanah Suci Mekah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram