
KEMERIAHAN menjelang Liga A1 Semi Pro 2025/26 semakin meriah selepas penganjurnya, Liga Bola Sepak Amatur (AFL) mengumumkan sebanyak 12 pasukan bakal bertanding dengan amaun itu dijangka meningkat.
Ini kerana dalam kenyataan dikeluarkan pada Jumaat, organisasi tersebut menyatakan sebanyak tiga lagi kelab menyatakan minat untuk bertanding, termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Pasukan itu sudah tentu tertarik dengan prospek penyertaan itu susulan kegagalan memperolehi lesen kebangsaan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana tidak memenuhi kriteria kewangan ditetapkan.
BACA LAGI: Liga A1 makin meriah, terima kehadiran JDT II, Selangor II lepas alu-alukan penyertaan Kedah, Perak
BACA LAGI: Bagaikan rahmat, 3 langkah wajar diterap Kedah jika sah ke Liga A1
Kedah FA sudah berada dalam 12 pasukan Liga A1 Semi Pro musim depan.
Jadi, penyertaan dalam Liga A1 Semi Pro musim depan akan menyaksikan legasi kelab tersebut terus hidup meskipun tidak lagi beraksi dalam divisyen teratas bola sepak tempatan.
Bagaimanapun, kekeliruan mula timbul dalam kalangan peminat bola sepak di negeri itu kerana setakat ini, pertandingan amatur itu sudah disertai Kedah FA yang merupakan satu daripada 12 kelab bakal bersaing.
Perasaan tersebut dikongsikan menerusi laman Facebook Kedahan green yellow yang keliru berhubung penyertaan pasukan kerana masing-masing belum pasti mengenai struktur pasukan berkenaan.
"Sebagai penyokong, kita pun keliru juga. Nak tahu juga, pasukan Kedah FA itu pasukan yang mana? Kalau pasukan baharu, apakah nama pasukannya dan kenapa mahu tubuhkan pasukan baharu?
"Apakah motif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tubuhkan kelab baharu sedangkan KDA FC masih ada? Kita juga tertanya siapakah pemegang saham KDA FC selain Tan Sri Daud Bakar kerana adakah individu dalam KFA Masih ada memegang saham KDA FC? Sekiranya ada, kenapa tubuhkan pasukan baharu?" tulisnya.
Skuad Sang Kenari masih dalam proses memperolehi lesen untuk bersaing di Liga A1 Semi Pro 2025/26. — Facebook/KDA FC
Seperti mana diketahui ramai, KFA merupakan pasukan yang berada di bawah pengurusan kerajaan negeri dengan dana utama diperolehi menerusi sumber kewangan disalurkan saban musim.
Jadi, dengan KDA FC berdiri sendiri tanpa mengharapkan suntikan dana, persatuan itu mempunyai pilihan untuk membangunkan pasukan sendiri tanpa perlu menyalurkan bantuan kewangan berterusan.
Bagaimanapun, Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor sebelum ini menyatakan pihaknya terus membantu skuad Sang Kenari dengan memberi bantuan kewangan mencecah jutaan ringgit setiap tahun.
Keputusan untuk tidak mengambil alih kelab tersebut secara penuh juga pernah dipersoalkan kerana keengganan tersebut menyaksikan mereka gagal meraih slot ke saingan musim depan disebabkan isu kewangan berterusan.
"Ada duit ke pihak yang memperkenalkan pasukan baharu itu? Siapakah yang menaja dan adakah terdapat gangguan pihak berwajib? Siapa pula pemainnya? Sekiranya ada dua kelab dari Kedah, di manakah venue perlawanan dan tempat latihan kedua-dua pasukan itu?" soal pengguna Facebook itu lagi.
Sekiranya persoalan tersebut terus tergantung tanpa jawapan, tidak mustahil akan wujudnya keretakan dalam kalangan penyokong yang masing-masing mempunyai kecenderungan tersendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram