[VIDEO] Pemilik Buriram mahu 'balas jasa' Dion Cools, sedia dengar tawaran kelab Jepun


  • Podium
  • Ahad, 25 Mei 2025

Dion Cools menghabiskan tiga musim yang dilimpahi pelbagai kejayaan bersama Buriram United. — Facebook/Buriram United

SEPANJANG tiga musim beraksi di Thailand, pelbagai momen manis dikecapi Dion Cools yang berjaya mengukuhkan benteng pertahanan Buriram United yang mendominasi di peringkat domestik dan Asia.

Pada musim pertama di negara berkenaan, pemain kelahiran Kuching, Sarawak itu membantu pasukannya merangkul treble di pentas domestik yang juga merupakan kali kelima mereka berbuat demikian.

Kemanisannya bersama Buriram United semakin dirasakan musim ini selepas dia membawa kelab berkenaan ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite selain menjuarai Piala Shopee.

BACA LAGI: Saham Dion Cools mencanak, disebut-sebut dalam radar kelab gergasi Jepun

BACA LAGI: [VIDEO] Bersama Peter Cklamovski, Harimau Malaya bakal terap taktikal bertahan?

Dion Cools menjadi antara pemain terbaik Buriram United ketika tempoh dominasi mereka di pentas domestik. — Facebook/Buriram United

Setiap sumbangan dicurahkan itu membuatkan nama dan reputasi Dion Cools kian berkembang sehingga menimbulkan khabar angin kononnya khidmatnya ditagih kelab Jepun, Cerezo Osaka.

Khabar angin berkenaan pada awalnya kurang diendahkan peminat bola sepak tempatan kerana masing-masing kurang percaya bahawa seorang pemain Harimau Malaya akan menerima tawaran sedemikian.

Namun, hal tersebut disahkan sendiri pemilik Buriram United, Newin Chidchob yang mengatakan pihaknya bersedia mendengar tawaran dari pasukan Asia Barat itu selepas tiga musim Dion Cools beraksi mencurah khidmat.

"Dia ada menerima tawaran dari Cerezo Osaka. Pada saya, dia perlu berkembang dan dia juga mahu beraksi dalam liga yang lebih kompetitif. Dion membantu Buriram menjadi juara sepanjang dua musim, jadi saya perlu membalas budinya.

"Tetapi, sudah tentu ia tidaklah percuma. Ini adalah jawapan dari sebuah kelab profesional kerana kadang-kala, kita tidak perlu melahirkan pemain Thailand untuk dilepaskan ke kelab luar," katanya.

Dion Cools sememangnya berpengalaman luas dalam kariernya kerana sebelum beraksi di liga Asia, dia terlebih dahulu mengembangkan bakat di Eropah bersama kelab di Belgium dan Denmark.

Tidak cukup dengan itu, bek berkebolehan tersebut juga pernah berentap dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) bersama FC Midtjylland yang sudah tentu menjadikannya antara pemain paling bernilai dalam sejarah bola sepak tempatan.

Sekiranya perpindahan itu menjadi kenyataan, Cools bakal kembali bergandingan dengan jurulatih lamanya, Arthur Papas yang kini bersama Cerezo Osaka selepas meninggalkan Buriram United, musim lalu.

Perpindahan itu juga dilihat sebagai satu langkah besar dalam karier Cools yang bukan sahaja bakal beraksi dalam salah satu liga terbaik Asia, tetapi berpeluang meningkatkan prestasinya untuk membantu Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram