[VIDEO] Rakaman objek misteri di langit cetus panik penduduk Kazakhstan, mungkin Rusia ada kaitan


  • Benua
  • Jumaat, 06 Jun 2025

Tangkap layar menunjukkan penampakan objek bercahaya yang mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan warga maya.

BEBERAPA bandar di Kazakhstan, termasuk Astana, Almaty, Taldykorgan dan Konaev, baru-baru ini menyaksikan penampakan objek bercahaya yang mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan penduduk tempatan.

Fenomena itu berlaku di atas langit Kazakhstan yang juga kawasan berhampiran sempadan dengan Persekutuan Rusia.

Penduduk tempatan mendakwa bahawa objek berkenaan merupakan percubaan Rusia untuk membalas kepada Ukraine menggunakan misil Oreshnik.

BACA LAGI: [VIDEO] Rakyat Malaysia ke Thailand perlu ambil iktibar kes di Phuket jika mahu bergambar dengan harimau

BACA LAGI: [VIDEO] Demi populariti, pelancong cari nahas ambil video saat Gunung Etna meletus

Namun, ia dikatakan berakhir dengan kegagalan apabila misil itu meletup di tengah udara berhampiran Kazakhstan.

Bagaimanapun, seorang wakil dari Kementerian Pertahanan Kazakhstan mengesahkan bahawa Rusia sedang menjalankan ujian dron di wilayah Barat Kazakhstan.

Menurut laporan itu, sejak Mac 2025, empat dron telah terhempas di wilayah tersebut.

Walaupun terdapat spekulasi mengenai asal usul dron tersebut, Kementerian Pertahanan Kazakhstan menyatakan bahawa kebanyakan dron yang dikesan adalah milik Rusia dengan lebih daripada 90 peratus daripadanya terbang dari tapak ujian Pusat Ujian Penerbangan ke-926 Rusia.

Pada masa sama, menurut Kementerian Pembangunan Digital, Inovasi dan Industri Aeroangkasa Kazakhstan, fenomena itu kemungkinan besar disebabkan oleh hujan meteor atau serpihan kapal angkasa yang memasuki atmosfera Bumi.

Kementerian turut menegaskan bahawa tiada pelanggaran ruang udara negara tersebut telah direkodkan. Situasi itu sedang dipantau oleh pihak berkuasa yang berkaitan dan tiada ancaman kepada penduduk.

Kementerian juga meminta orang ramai untuk bertenang dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat kerana pihak berkuasa sedang mengkaji fenomena tersebut dan akan memberikan penjelasan lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram