
BEKAS bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Chia Ruo Han mengesahkan penyertaannya bersama Penang FC sebagai pasukan baharu bagi menghadapi musim 2025/26.
Selepas meninggalkan Harimau Selatan, anak jati Kulim, Kedah itu pernah dikaitkan dengan beberapa pasukan Liga Super antaranya Negeri Sembilan FC.
Namun, Ruo Han hanya memaklumkan bahawa pengumuman rasmi pasukan baharunya akan dibuat pada waktu yang sesuai.
BACA LAGI: 'Pemain tempatan kian tenggelam, asyik-asyik harapkan naturalisasi'
BACA LAGI: 'Tahu-tahu muncul atas padang,' pemerhati saran FAM buat kerja 'proper' perkenal pemain warisan
Rou Han memilih Penang FC sebagai pasukan baharunya selepas meninggalkan JDT. — Facebook/Penangfc
Kini, Penang FC menjadi destinasi pilihannya, dengan perpindahan pemain tengah berusia 24 tahun itu diumumkan secara rasmi di laman rasmi Facebook pasukan pada Rabu.
"Penang FC teruja untuk mengalu-alukan Chia Ruo Han ke dalam skuad. Pemain tengah berbakat itu bakal menyarung jersi nombor 19 musim ini.
“Pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Bawah-23 pada 2021, Chia turut mencatat pencapaian membanggakan apabila disenaraikan dalam skuad utama JDT bagi kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2021 yang mana ketika itu dia baru berusia 20 tahun dan masuk sebagai pengganti Gonzalo Cabrera.
“Antara pencapaiannya termasuk medal kejuaraan Liga Perdana 2022 serta kejuaraan Piala MFL 2024/25 bersama JDT. Prestasi cemerlang Chia menjadi bualan pemerhati sukan, terutamanya selepas aksi memukau yang dipamerkan dalam perlawanan terakhir Piala MFL baru-baru ini.
“Kini, bersama Penang FC, Chia bersedia membuka lembaran baharu membawa pengalaman, ketenangan dan kualiti yang bakal memperkukuh skuad Harimau Kumbang musim ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Susulan pengumuman tersebut, skuad Jang terpaksa berputih mata apabila terlepas khidmat pemain muda berbakat itu untuk musim depan.
Berketinggian 1.71 meter, Ruo Han merupakan rekrut pertama Penang FC untuk musim 2025/26.
Selain Rou Han, skuad Harimau Kumbang juga dilaporkan sedang mengintai beberapa tonggak import baharu seperti Tchetche Kipre, Danilo Sipovac dan Thiago Oliveira Fernandes. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram