[VIDEO] Rakyat Malaysia ke Thailand perlu ambil iktibar kes di Phuket jika mahu bergambar dengan harimau


  • Benua
  • Rabu, 04 Jun 2025

Tangkap layar memaparkan detik cemas seorang lelaki warga India diserang seekor harimau.

BAGI rakyat Malaysia yang gemar bercuti ke Thailand, satu peringatan penting harus diambil serius iaitu elakkan sikap sambil lewa apabila ingin bergambar dengan harimau di mana-mana tempat tarikan pelancongan di sana.

Ini susulan satu insiden mengejutkan yang berlaku di Phuket, Thailand, apabila seorang pelancong warga India diserang seekor harimau di sebuah tarikan pelancongan terkenal, Tiger Kingdom baru-baru ini.

Insiden yang berlaku pada Khamis minggu lepas itu (29 Mei 2025) sekali gus menimbulkan kebimbangan serius berkaitan keselamatan hidupan liar serta etika dalam industri pelancongan yang membenarkan interaksi rapat dengan haiwan buas.

BACA LAGI: [VIDEO] Demi populariti, pelancong cari nahas ambil video saat Gunung Etna meletus

BACA LAGI: 'Tahu-tahu muncul atas padang,' pemerhati saran FAM buat kerja 'proper' perkenal pemain warisan

Menurut laporan, mangsa mengalami beberapa kecederaan selepas diserang harimau ketika cuba mengambil swafoto bersama haiwan itu.

Tiger Kingdom merupakan taman tema yang menawarkan pengalaman berinteraksi secara dekat dengan harimau, namun kunjungan kali ini berakhir dengan insiden yang mencemaskan.

Video kejadian yang tular di media sosial, khususnya di platform X, memaparkan pelancong terbabit berjalan bersama harimau sambil memegang rantainya.

Namun, ketika cuba mengambil gambar, harimau itu tiba-tiba menyerang. Rakaman turut menunjukkan penjaga cuba menyelamatkan mangsa dalam suasana panik, dengan jeritan kedengaran dari segenap arah.

Turut kelihatan seorang jurulatih menggunakan sebatang kayu untuk memberi isyarat agar harimau itu duduk, namun serangan tetap berlaku, mencetuskan kekecohan di lokasi.

Walaupun kecederaan yang dialami dilaporkan tidak serius, kejadian itu mencetuskan kembali perdebatan dalam kalangan netizen mengenai keselamatan dan kewajaran membenarkan pelancong mendekati pemangsa liar.

Ramai yang melahirkan simpati terhadap mangsa, di samping mempersoalkan etika dan risiko yang ditanggung dalam pengalaman sedemikian.

Tiger Kingdom mempromosikan dirinya sebagai lokasi pelancongan unik yang mana pelawat boleh berinteraksi secara dekat dengan harimau. 

Namun begitu, tidak seperti beberapa tarikan lain, harimau di taman tema berkenaan dikatakan tidak dibius, tidak dicabut kuku mahupun ditanggalkan taring, satu amalan yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kumpulan hak asasi haiwan.

Apa yang memburukkan lagi keadaan, ini bukan insiden pertama melibatkan Tiger Kingdom. Pada 2014, seorang pelancong Australia turut mengalami kecederaan serius akibat diserang harimau di taman sama, yang membawa kepada penutupan sementara salah satu kandang.

Insiden di Thailand itu berlaku hanya beberapa minggu selepas satu lagi tragedi di Madhya Pradesh, India, yang mana seorang petani berusia 50 tahun maut diserang harimau di daerah Balaghat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram