
REVOLUSI Harimau Malaya semakin menunjukkan perkembangannya apabila setakat ini seramai tujuh pemain warisan sudah diperkenalkan oleh skuad kebangsaan bagi membantu Malaysia dalam tugasan antarabangsa.
Pada Mac lepas, dua pemain warisan yang tiba dalam skuad kebangsaan adalah Hector Hevel bagi memperkuatkan bahagian tengah negara dan Gabriel Palmero pula dimasukkan bagi memperkasakan jentera pertahanan.
Menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun ini, skuad kebangsaan mengumumkan empat lagi pemain warisan iaitu Facundo Garces, Jon Irazabal (bek tengah), Imanol Machuca (pemain sayap) dan dua penyerang; Joao Figueiredo serta Rodrigo Holgado.
BACA LAGI: Tekad tamatkan penantian 10 tahun, Cklamovski berkobar-kobar bertemu Vietnam
BACA LAGI: 'Tahu-tahu muncul atas padang,' pemerhati saran FAM buat kerja 'proper' perkenal pemain warisan
Tidak dinafikan kehadiran tujuh pemain berkenaan disambut baik oleh penyokong Harimau Malaya, namun pada masa sama ada juga suara-suara kurang enak didengari yang mempersoalkan susur galur mereka.
Dengan latar belakang mereka dari negara-negara latin seperti Argentina dan Sepanyol, ia seolah-olah menimbulkan syak wasangka mengenai status mereka hingga segelintir penyokong berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil menyediakan profil mereka.
Tampil memberikan pendapat mengenai situasi tersebut, legenda bola sepak negara iaitu Razman Roslan optimis bahawa badan induk berkenaan pasti sudah membuat kerja mereka sebelum mengesahkan latar belakang pemain-pemain berkenaan.
Razman berkata, penyokong Harimau Malaya seharusnya tidak usah mempertikaikan hal susur galur pemain-pemain warisan itu dan lebih baik menghargai komitmen mereka untuk bermain dengan skuad kebangsaan.
"Itu mungkin FAM boleh menjawab kan mengenai susur galur mereka. Mereka (FAM) dah membuat kajian, mereka dah selidik dan dah cari. Dan saya rasa paling penting komitmen mereka bersama dengan skuad kebangsaan itu penting. Saya nak lihat mereka bagi 100 peratus.
"Mereka perlu bermain bersungguh-sungguh sebab mereka dah menjarung jersi kebangsaan. Bagi saya, komitmen mereka sangat ditagih oleh semua pihak termasuk penyokong dan juga FAM. Nak beritahu tak beritahu itu terletak kepada FAM.
"Tapi saya yakin apabila mereka dah bermain untuk pasukan kebangsaan sudah pasti susur galur itu ada dan memang mereka ada darah Malaysia lah. Sebagai penyokong mungkin kita tak boleh nak pertikaikan lagi. Tak mungkin ada sesuatu yang tak kena," katanya.
Razman merupakan bekas bek tengah kebangsaan. — Instagram/RazmanRoslan
Dalam pada itu, bekas pemain Selangor tersebut juga melihat kehadiran barisan pemain warisan yang tiba di kem kebangsaan menunjukkan perkembangan positif dengan setakat ini pasukan bimbingan Peter Cklamovski merekodkan hanya satu kalah dalam tiga perlawanannya.
Kali pertama Harimau Malaya berada di bawah bimbingan jurulatih kelahiran Australia itu adalah ketika kemenangan 2-0 ke atas Nepal dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor.
Kemudian, dalam aksi kedua bimbingan Cklamovski menyaksikan skuad kebangsaan seri 1-1 kepada Cape Verde dalam perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur dengan satu gol dicetak kedua-dua pasukan.
Bagaimanapun, rekod tanpa kalah itu akhirnya lebur apabila sebuah lagi aksi berlangsung dengan negara Afrika itu dalam aksi persahabatan tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang menyaksikan Harimau Malaya tumpas 0-3 pada Cape Verde pada Selasa.
"Kita nampak permainan skuad kebangsaan pun baik dan kita juga dapat keputusan-keputusan yang positif. Dari segi mungkin peluang pemain lokal tu mungkin agak sedikit kurang lah. Tetapi macam mana pun kita kena fikir sudut positif.
"Pemain-pemain perlu bersaing untuk mendapatkan tempat. Dan yang paling penting bagi saya adalah keputusan pasukan kebangsaan itu lebih baik dan kita nak lihat sebenarnya dalam masa sekarang ini kita layak ke Piala Asia secara merit lah.
"Lawan bertemu dengan Vietnam ini adalah saya rasa ujian yang paling besar sebelum kita tahu di mana kita punya hala tuju seterusnya. Selain kemenangan kita tak nak, kemenangan adalah yang paling mutlak untuk perlawanan menentang Vietnam," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram