
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa 13 daripada 15 kelab yang memohon telah berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi musim 2025/26, sekaligus melayakkan diri beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.
MFL memaklumkan bahawa 11 kelab dari Liga Super serta dua pasukan dari Liga Bola Sepak Amatur (AFL A1), iaitu Melaka FC dan Imigresen FC sudah berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan yang membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan.
Kedua-dua pasukan amatur itu menerima kelulusan khas menerusi Artikel 15, Lesen Kebangsaan Luar Biasa, selepas permohonan mereka diluluskan oleh First Instance Body (FIB), badan bebas yang menilai kelayakan lesen.
BACA LAGI: 'MFL perlu hormati keputusan Pahang jika tak sertai liga meski miliki lesen'
Pengesahan itu membuka lembaran baharu buat Melaka FC dan Imigresen FC, yang pastinya kini giat merangka perancangan untuk memperkuatkan skuad masing-masing agar mampu memberi saingan kompetitif dan tidak sekadar menjadi pasukan belasahan di saingan Liga Super.
Meskipun kehadiran mereka disambut baik namun masih ramai yang khuatir jika juara dan naib juara Liga A1 itu akhirnya terpalit masalah kewangan lagi-lagi jika sejarah sebelum ini iaitu Melaka FC pernah mengalami tunggakan gaji pada 2022.
Melontarkan pendapat mengenai kebimbangan penyokong mengenai Imigresen dan Melaka, pakar bola sepak tempatan iaitu Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, dua kelab itu sebenarnya mempunyai potensi jika diuruskan dengan betul oleh individu berpengalaman.
"Walaupun kelab baharu, kita tengok mereka yang ada di belakang, di bahagian pengurusan dan di pentadbiran kelab berkenaan masih orang-orang lama dalam bola sepak juga.
"Saya harap orang-orang lama ini dapat menguruskan pasukan dengan baik dari segi kewangan, pengurusan kewangan, penjanaan pendapatan, penajaan, pemasaran, publisiti dan sebagainya sesuai dengan tertib dan juga disiplin perniagaan bola sepak agar masalah kewangan tak wujud lagi," katanya.
Dalam pada itu, Zulakbal turut mengingatkan supaya dua kelab berkenaan mengelakkan pemborosan dan berbelanja mengikut kemampuan sebenar bagi mengelak masalah kewangan berlaku ketika liga berlangsung.
Menurutnya, Imigresen FC dan Melaka FC patutnya menggunakan pendekatan melahirkan pemain muda dan memberi mereka ruang bermain dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan membuahkan hasil jangka panjang.
Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim.
"Dan mereka ini juga perlu mengukur baju di badan sendirilah dengan elak membeli pemain-pemain yang ramai. Kalau boleh beli saja pemain-pemain muda. Ambil pemain-pemain muda, beri mereka peluang dalam dua ke tiga tahun dan selepas itu, mereka sudah matang dan boleh bersaing.
"Tak perlu kita berbelanja besar untuk membawa masuk pemain-pemain import lah. Pemain-pemain mahal. Sesuai dengan keupayaan kelab kita yang baru. Maju dengan berdikit-dikit. Samping belanja dengan berhemah.
"Selain itu, penggunaan 15 import itu untuk yang main Asia. Bagi pasukan yang hanya main domestik, guna dua dan tiga import sahaja. Gunalah gaya PJ (Petaling Jaya) City. Sesuai untuk pasukan yang tidak berapa banyak dana, tak mampu ambil import 15 orang, jadi pakai lokal," tambahnya.
Melaka FC dan Imigresen FC sudah berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam saingan Liga Super. — Facebook/Hotice
Untuk rekod, Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Ke-13 Penggal 2021-2025 yang berlangsung pada Rabu lepas bersetuju untuk membenarkan semua kelab mendaftar maksimum 15 pemain import.
Daripada jumlah itu, sembilan pemain boleh disenaraikan dalam senarai perlawanan, termasuk pemain utama dan simpanan yang terdiri daripada empat pemain terbuka, seorang pemain Asia, dan dua pemain dari negara ASEAN. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram