Bukan Kedah, AFL tak tolak kemungkinan ada kelab Liga Super mohon sertai Liga A1


  • Podium
  • Khamis, 19 Dis 2024

AFL berkata mereka tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Kedah untuk sertai Liga A1.

TIMBUL desas-desus mengenai status kelab Liga Super, Kedah Darul Aman FC yang dikatakan akan meninggalkan saingan tersebut untuk ke Liga A1 Semi-Pro.

Sebelum ini, terdapat laporan mengatakan yang Kedah dalam proses untuk menyertai saingan separuh-profesional itu dengan Sang Kenari dikatakan sudah menghantar surat permohonan kepada penganjur, Amatuer Football League (AFL).

Akan tetapi, Kedah pada Khamis menjelaskan yang mereka menafikan tindakan menghantar permohonanan tersebut sekali gus memasang niat untuk beraksi di Liga A1.

BACA LAGI: Tidak pernah hantar surat, Kedah nafi tarik diri dari Liga Super

BACA LAGI: Kedah sedia turun liga, Sri Pahang bakal tarik diri?

"Pihak Kedah Darul Aman FC tidak pernah menghantar surat mengenai hasrat untuk menarik diri daripada saingan Liga Super dan beralih ke saingan Liga Al Semi-Pro," kata Kedah dalam kenyataan mereka.

Perkara itu kemudiannya disahkan oleh pihak AFL yang kedua-dua pihak tidak melakukan sebarang perbincangan mengenai potensi Sang Kenari beraksi di liga tersebut.

Ketua Pegawai Operasi AFL, Raimi Fakri Fuad berkata kepada Majoriti, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Kedah untuk menyertai Liga A1.

"Buat masa sekarang, kami tidak menerima sebarang permohonan atau makluman rasmi daripada Kedah berhubung perkara tersebut.

"Sehingga kini, tiada sebarang perbincangan rasmi atau tidak rasmi melibat kedua-dua pihak," ujar Raimi.

Dalam masa yang sama, Raimi tidak menolak kemungkinan ada kelab Liga Super yang sedang menuju ke arah tersebut dek kerana perancangan musim hadapan sedang giat dijalankan.

"Namun begitu, saya percaya pada ketika ini majoriti pasukan telah pun mengatur persiapan untuk musim hadapan dan mungkin ia menjurus ke arah desas-desus yang tersebar ketika ini," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram