
BEKAS bek kebangsaan, Razman Roslan menyifatkan kehadiran pemain warisan yang baru tiba dalam Harimau Malaya mampu menjadi senjata penting meskipun berdepan kekangan masa untuk membina keserasian menjelang aksi penting menentang Vietnam pada 10 Jun ini.
Menurut Razman, beberapa muka baharu lain masih dalam proses menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan dan rakan sepasukan tetapi, pengalaman serta pendedahan tinggi mereka di luar negara dapat menjadi kelebihan besar buat Malaysia.
Pada Rabu, skuad kebangsaan mengumumkan lima lagi pemain warisan iaitu Facundo Garces, Jon Irazabal (bek tengah), Imanol Machuca (pemain sayap) dan dua penyerang; Joao Figueiredo serta Rodrigo Holgado.
BACA LAGI: Jangan pertikai susur galur warisan, terserah FAM nak kongsi atau tidak — Razman Roslan
BACA LAGI: Tekad tamatkan penantian 10 tahun, Cklamovski berkobar-kobar bertemu Vietnam
Selain empat pemain itu, Harimau Malaya juga menerima khidmat dua pemain warisan iaitu Hector Hevel bagi memperkuatkan bahagian tengah negara dan Gabriel Palmero pula dimasukkan bagi memperkasakan jentera pertahanan pada Mac lepas.
Bukan itu sahaja, Razman juga percaya bahawa dengan pendekatan taktikal yang tepat daripada jurulatih serta kesediaan pemain tempatan memberi ruang dan sokongan, pemain warisan boleh memberikan impak segera.
"Mungkin keserasian itu kita tak akan dapat setahap maksimum yang mungkin lah. Tapi dengan pengalaman pemain-pemain yang ada saya yakin mereka mampu melakukan (mendapat keputusan positif)
"Dan paling penting adalah bagaimana strategi dan taktikal jurulatih yang akan digunakan untuk memainkan peranan bagi melenturkan mana hala tuju pasukan dan bagaimana cara kita nak bermain untuk bertemu dengan pasukan Vietnam," katanya.
Bercakap mengenai pemain yang wajar dipertaruhkan oleh jurulatih kebangsaan iaitu Peter Cklamovski, Razman yakin pengendali dari Australia itu pasti sudah mempunyai senarai pemain untuk diturunkan hasil sesi latihan.
Jurulatih kebangsaan iaitu Peter Cklamovski. — Facebook/FAM
"Untuk saya, formasi, taktikal dan strategi terpulang kepada jurulatih kerana beliau menilai pemain ini daripada sesi latihan. Jadi, mungkin ada pemain yang cemerlang dalam latihan akan diberi peluang.
"Saya yakin jurulatih akan menurunkan pemain yang terbaik untuk bertemu dengan pasukan Vietnam," jelasnya yang yakin selepas Cklamovski merekodkan hanya satu kalah dalam tiga perlawanannya bersama Harimau Malaya.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menewaskan Vietnam ialah dalam separuh akhir Piala AFF 2014, apabila Harimau Malaya mencatat kemenangan 5-4 secara agregat.
Sejak itu, Vietnam tidak pernah tewas dalam lapan pertemuan seterusnya menentang Malaysia, dengan satu-satunya keputusan seri 2-2 dicatat dalam Piala AFF 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram