Tekad tamatkan penantian 10 tahun, Cklamovski berkobar-kobar bertemu Vietnam


  • Podium
  • Selasa, 03 Jun 2025

Sebahagian sesi latihan akhir skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan persahabatan tertutup bertemu Cape Verde. — Facebook/Malaysia NT

MALAYSIA sudah lebih sedekad tidak mencatat kemenangan ke atas Vietnam dalam saingan bola sepak dan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski kini bertekad menamatkan kemarau tersebut.

Sebagai persiapan terakhir sebelum perlawanan penting menentang Vietnam pada 10 Jun ini dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027, skuad Harimau Malaya akan beraksi dalam perlawanan persahabatan tertutup menentang Cape Verde pada Selasa yang dijadikan medan ujian utama menjelang pertembungan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Sebagai sebuah negara, kita tidak pernah menewaskan Vietnam dalam tempoh lebih 10 tahun. Kami menghormati Vietnam sebagai pasukan dan negara dan kami akan memberikan segalanya untuk mengubah sejarah,” katanya.

BACA LAGI: Dikaitkan dengan Melaka, Sikh Izhan serah nasib kepada Selangor

BACA LAGI: DPMM berputih mata, gagal ‘done deal’ bek Pahang seperti mana Fairuz Zakaria

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski. Facebook/Malaysia NT

Kali terakhir Malaysia menewaskan Vietnam ialah dalam separuh akhir Piala AFF 2014, apabila Harimau Malaya mencatat kemenangan 5-4 secara agregat.

Sejak itu, Vietnam tidak pernah tewas dalam lapan pertemuan seterusnya menentang Malaysia, dengan satu-satunya keputusan seri 2-2 dicatat dalam Piala AFF 2018.

Walaupun aksi persahabatan menentang Cape Verde berlangsung secara tertutup, ia merupakan kali pertama Cklamovski mengendalikan skuad kebangsaan di Bukit Jalil. Namun, jurulatih dari Australia itu lebih menumpukan perhatian kepada persiapan pasukan.

“Cape Verde mempunyai kualiti untuk menguji kemampuan kami dan kami perlu bersedia. Perlawanan ini penting untuk membentuk fasa terakhir latihan menghadapi lawan yang kuat seperti Vietnam.

“Perlawanan ini tidak akan berlangsung selama dua babak 45 minit seperti biasa. Kami akan kawal jumlah minit dan mahukan perlawanan dengan intensiti setinggi mungkin,” jelasnya.

Malaysia sebelum ini seri 1-1 dengan Cape Verde dalam aksi persahabatan pertama yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis minggu lalu.

Mengenai kemasukan beberapa pemain baharu dalam skuad, Cklamovski enggan mengulas lanjut meskipun khabar angin terus berlegar mengenai kehadiran penyerang Argentina, Rodrigo Holgado, serta dua pemain dari Sepanyol, Jefte Betancor dan Jon Irazabal.

“Terlalu banyak nama yang disebut, malah ada yang saya sendiri belum pernah lihat. Banyak spekulasi dan saya menghormatinya. Tetapi buat masa ini, fokus kami hanyalah pada perlawanan,” ujarnya. — The Star/S.SAKTESH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram